Guru tertekan, alasan pelajar bermasalah tidak diterima, hanya mahukan kadar lulus tinggi


  • Massa
  • Selasa, 14 Jun 2022

Sekolah perlu memastikan jumlah peratus kelulusan yang tinggi dalam kalangan pelajar.

BEBANAN kerja guru selain daripada tugas hakiki iaitu mengajar punca ramai guru memilih untuk bersara awal.

Bekas guru yang memilih untuk bersara pada usia 58 tahun, Zunnajah Mohd. Yusuf berkata, tugasan guru bukan untuk mengajar sahaja, tetapi lebih daripada itu.

"Sebenarnya guru dah menjalankan tugas mereka untuk mendidik tetapi ketetapan daripada pihak tertentu adalah untuk memastikan kadar peratusan yang tinggi daripada aspek kuantiti dan kualiti menyukarkan para guru untuk merealisasikannya.

"Guru perlu memastikan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang tetapi jika pelajar itu sendiri tidak mempunyai kemahuan untuk belajar memang susahlah.

"Memang ada pelajar yang begitu dan mereka hadir ke sekolah sebab terpaksa. Kalau hadir pun kemudian akan ponteng sekolah.

WhatsApp Image 2022-06-08 at 5.54.46 PM (2)

Zunnajah (empat dari kanan) bersama rakan guru dan pelajar di sekolahnya.

"Pihak tertentu mahukan keputusan cemerlang tetapi tidak mahu mendengar alasan daripada guru mengapa ada sesetengah pelajar sukar mendapat keputusan cemerlang," katanya kepada Majoriti.

Menurut Zunnajah lagi, perkara itu sebenarnya memberi tekanan kepada guru sedangkan peranan itu adalah tanggungjawab bersama.

Jelasnya, itu juga antara sebab mengapa guru tertekan kerana mereka perlu menjawab apa punca kadar kelulusan pelajar rendah sedangkan bila diberitahu puncanya, tiada siapa yang mahu mendengar.

"Kalau macam sistem dahulu ada tapisan jika nak masuk ke tingkatan 4, perlu lulus pelajaran di tingkatan 3 dahulu.

"Tetapi sekarang dah berbeza dan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun memang kena lulus mata pelajaran Sejarah.

1608288

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pemansuhan PT3 pada 2 Jun lalu.

"Kalau pelajar itu sendiri tak mahu belajar dan sering buat masalah, nak paksa dia untuk baca buku Sejarah pun memang susahlah," katanya.

Jelasnya lagi, sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga memberi kesan kepada guru dalam usaha untuk memastikan kadar kelulusan yang tinggi di sekolah.

"Sedangkan ajar bersemuka secara berdepan pun masih ada pelajar sukar beri tumpuan, apatah lagi dengan PdPR. Kita sendiri tidak tahu apa yang mereka buat sewaktu sesi pengajaran.

"Walau apa juga alasan diberi, guru tetap perlu memastikan kadar kelulusan tinggi dan ini memang sesuatu yang menyukarkan.

"Jadi mahu atau tidak, seorang guru kena fikirlah apa kaedah yang sesuai sebab ada yang memang tidak mahu belajar hingga mengakibatkan masalah kepada pelajar lain.

"Mereka yang tidak mahu belajar ini akan pengaruh rakan lain untuk ponteng sekolah dan sebagainya. Itu belum lagi pelajar yang sudah mula bekerja hingga mereka berasa seronok bila dah pegang duit," katanya.

Persekitaran sebegitu katanya memerlukan seorang guru untuk berfikir cara yang terbaik mengawal pelajar dan dalam masa sama mencari jalan bagaimana nak menaikkan peratusan lulus dalam sekolah.

Selain itu, katanya, ditambah dengan bebanan kerja lain melibatkan data dan teknologi sedikit sebanyak turut memberi tekanan kepada golongan pendidik guru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram