Isu guru bersara awal: Asyik meniru tapi kritikan tak nak terima, anak-anak jadi tikus makmal


  • Primer
  • Khamis, 16 Jun 2022

Satu borang kajian telah diedarkan kepada guru berkaitan dengan isu bersara awal.

TULAR di media sosial berkaitan dengan hantaran Facebook yang dibuat seorang guru, Mohd Fadli Salleh berkaitan dengan satu Kajian Tinjauan Faktor-faktor Persaraan Awal Guru 2022.

Difahamkan, borang kajian tinjauan itu diedarkan dalam kalangan guru dan satu daripada soalannya ialah berkenaan dengan alasan mengapa mahu bersara awal.

Menurut Mohd Fadli yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Gombak 1, Selangor, salah satu alasan seorang guru yang tersebar menyatakan 'kalau bukan kerana hutang Bank Rakyat, berlambak dah berhenti'.

285768632_5362061933815358_8862642336983108392_n (1)

Tangkap layar komen seorang guru dalam borang tinjauan yang dimuat naik Mohd. Fadli.

"Ada benarnya alasan guru tersebut. Anak-anak kita dah jadi macam tikus makmal. Cuba itu dan ini.

"Nak tiru cara negara itu, nak tiru cara negara ini. Masalahnya bahagian silibus, penilaian tak mahu pula tiru.

"Bahagian bilangan murid mereka 20 orang sekelas tak mahu pula tiru. Guru ada pembantu tak nak tiru. Fasiliti dan prasarana yang lengkap tak nak tiru," katanya.

Menurut Mohd Fadli lagi, kuasa autonomi kepada pihak sekolah dan kesediaan untuk mendengar luahan dan bersikap terbuka untuk terima kritikan membina juga tak mahu ditiru.

Menerusi tangkap layar komen guru berkaitan soalan bersara awal itu, sistem pendidikan dilihat terlalu kelam kabut kerana sibuk nak meniru sesetengah negara luar sehingga guru yang terpaksa menanggung akibat.

Malah, komen itu juga menyebut yang cikgu jika tidak kerana hutang bank, sudah ramai yang berhenti.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan ketika dihubungi mengesahkan pengedaran borang kaji selidik itu.

Ditanya mengenai hasil dapatan daripada kaji selidik itu masih belum diperoleh kerana masih di peringkat kajian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram