Tewas di tangan Bahrain, 3 kesilapan Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 12 Jun 2022

Antara babak perlawanan ketika Malaysia menentang Bahrain. — FAM

SKUAD Harimau Malaya yang tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Sabtu, ternyata agak mengecewakan para penyokong bola sepak tanah air.

Kekalahan di tangan pasukan ranking ke-89 dunia itu menyaksikan Harimau Malaya terpaksa melepaskan status juara kepada pendahulu Kumpulan E ke tangan Bahrain, yang mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan.

Hanya lima naib juara terbaik akan beroleh slot automatik ke saingan Piala Asia tahun depan dan Harimau Malaya perlu bergantung harap kepada aksi kumpulan lain.

Tampil mengulas mengenai corak perlawanan, Don K-Rul IZham tidak menolak kemungkinan terdapat tiga kesilapan Malaysia yang menyebabkan kekalahan tersebut.

Terleka mengundang padah

Pemerhati sukan itu berkata, kesilapan pertama yang boleh dilihat adalah di bahagian pertahanan ketika Bahrain meledak gol pertama.

Pemain pertahanan dilihat hilang fokus ketika Bahrain sedang mengatur serangan bagi membalas jaringan pembukaan Mohamadou Sumareh pada minit ke-54.

Ketika bola berada di kawasan Malaysia, perlawanan dihentikan seketika selepas Sumareh dilihat mengalami kecederaan.

Mungkin kerana itu, pemain pertahanan negara terleka sekejap sekali gus dihukum dengan jaringan balas selang empat minit kemudian menerusi Ali Abdulla Haram.

Tumbuk atau tangkap?

Selain itu, kesilapan penjaga gol sendiri menyumbang kepada gol kemenangan Bahrain.

Keputusan Farizal Marlias meluru keluar untuk menangkap hantaran silang pemain Bahrain dilihat sebagai tidak tepat, sebaliknya dia lebih berpeluang untuk menumbuk keluar atau menunggu di pintu golnya.

Kesilapannya itu disusuli dengan tindakannya menerjah pemain Bahrain pada minit ke-80 mengundang padah apabila Bahrain dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Abdulla Yusuf Helal untuk gol kemenangan Bahrain.

Peminat juga berasakan sudah tiba masanya Kim Pan-gon memberi kepercayaan kepada penjaga gol lain bagi menggalas tugas menjaga gawang gol negara.

Ini kerana Farizal dilihat kurang diuji sepanjang perlawanan Liga Malaysia disebabkan pertahanan ampuh Johor Darul Takzim selain fizikalnya untuk bersaingan dengan pemain bertubuh besar seperti pasukan Bahrain.

Cukup-cukuplah De Paula

Malah, katanya, tindakan memasukkan penyerang, Guilherme de Paula juga merupakan satu kesilapan.

Aksinya yang bermain sambil lewa, tatkala pemain lain bertungkus lumus mencari kemenangan menyebabkan banyak kritikan dilemparkan kepadanya.

Malah ada satu ketika pengulas perlawanan, Zainal Abidin Raub juga kedengaran geram dengan aksi 'malas' De Paula untuk bersaing menanduk bola hasil hantaran lintang Arif Aiman.

Bagi Don K-Rul, tiada gunanya mengkritik De Paula kerana itu sahaja tahap permainan pemain naturalisasi negara.

"De Paula ni dah malas nak cakap. Kritik pun dia tetap macam tu.

"Darren Lok harus bermain 90 minit atau Syafiq Ahmad sebagai penyerang yang layak gantikan Darren jika dia cedera atau pertukaran posisi.

"Aku kesiankan Sumareh. Ini moment dia sepatutnya untuk celebrate. Dia memberikan 100 peratus, mendapat gol. Khuzaimi pun cemerlang," katanya menerusi satu ulasan di Facebook.

Don K-Rul IZham menyifatkan bahawa Malaysia sebenarnya tidak bermain dengan 'buruk' dalam perlawanan itu, namun keputusan berubah serta-merta selepas berlaku kesilapan.

"Kita tahu Bahrain ada teknikal bagus tapi dalam game tadi (Sabtu) mereka pun susah sebelum Malaysia membuat kesilapan.

"Apapun keputusan tetap Malaysia tewas. Nak tak nak perlawanan last kena menang dengan jaringan agak besar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram