SKUAD Johor Darul Takzim (JDT) tidak berdepan masalah untuk membelasah Hougang United FC dari Singapura 8-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada Jumaat.
Tanpa beberapa pemain yang bersama skuad Harimau Malaya mengharungi kempen Kumpulan E kelayakan Piala Asia, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora dilihat mempertaruhkan barisan simpanan bagi menguji prestasi masing-masing selain memastikan pemain meraih minit permainan.
Gol-gol JDT dihasilkan oleh penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva pada minit ke-24 untuk meletak skuad Harimau Selatan mendahului 1-0 sebelum Leandro Velazquez menyumbat gol kedua, dua minit kemudian.
JDT selaku tuan rumah terus selesa dengan kedudukan 3-0 hasil jaringan Ahmad Hazwan diikuti rembatan Ramadhan Saifullah pada babak kedua perlawanan.
Pemain gantian Fernando Rodriguez mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-58 manakala Rodriguez mencetak gol kedua peribadi bagi memastikan JDT selesa dengan jaringan 6-0.
Ramadhan juga turut menjaringkan gol pada minit ke-75 dan Muhamad Alif Abdul Mutalib pada minit ke-81 bagi melengkap kemenangan bergaya JDT.
Berikut adalah tiga poin yang menjadi buah mulut penyokong bola sepak Harimau Selatan terhadap persembahan yang ditunjukkan oleh skuad tersebut.
Rata-rata penyokong merasakan JDT berada dalam kelas tersendiri dan menjadi pasukan digeruni oleh pihak lawan. — Facebook
1) JDT digeruni lawan
Meskipun Hougang United FC dianggap bukan lawan JDT, namun pasukan kendalian Mora tidak memperlekehkan pasukan itu dan tetap bermain secara bersungguh-sungguh ibarat bertemu lawan sebenar.
Perkara itu membuatkan rata-rata penyokong merasakan JDT berada dalam kelas tersendiri dan menjadi pasukan digeruni oleh pihak lawan.
Hasridzuan Hassan berkata, walaupun pemain utama tidak diturunkan kerana fokus mengharungi kempen Kumpulan E kelayakan Piala Asia, kesebelasan pemain yang membuat penampilan semasa bertemu Hougang United FC terdiri daripada barisan yang mantap.
"Perghh... key player semua kat skuad Harimau Malaya. Ni kira second team menang besar, JDT memang padu," katanya.
"JDT berada dlm kelas tersendiri...hebat bergaya...tahniah!," kata Md Nasir Md Saman.
Md Saman Selamat pula berkata, "Mantap JDT!! Inilah pasukan level Asia yang digeruni pihak lawan."
2) Bakat pelapis negara
Membariskan pemain muda dan senior dalam pertemuan menentang Hougang United FC, penyokong merasakan perlawanan itu memberi pendedahan kepada generasi pelapis lebih-lebih lagi lawan adalah kelab luar negara dan bukan dari Liga Malaysia.
"Steadyyy... pendedahan yang cukup baik untuk generasi pelapis," kata Azmil Aziz.
Awgku Awgmu berpendapat, lebih ramai pemain dari Akademi JDT yang boleh diserap ke dalam skuad utama sekali gus membantu melahirkan bakat-bakat bola sepak untuk skuad kebangsaan.
"Guna second team pun boleh kenduri sampai lapan kali 'tambah nasi' (skor gol). Harap ada lagi player dari akademi yang diserap dalam skuad utama JDT. Kita perlukan ramai lagi promising talent untuk skuad negara," katanya.
Persembahan Muhamad Alif disamakan dengan aksi mantap dan konsisten Ariff Aiman. — Facebook
3) Ubi JDT setaraf Ariff Aiman
Beberapa wajah ubi muda turut mencuri tumpuan para penyokong ketika pertemuan dengan Hougang United FC.
Kelibat pemain JDT II, Muhamad Alif yang membuat kemunculan dalam perlawanan itu dirasakan amat menyerlah malah ada yang menyamakannya dengan wonderkid, Ariff Aiman Hanapi yang bermain di skuad utama Harimau Selatan.
Turut menyumbang satu gol dalam aksi itu, peminat merasakan Muhamad Alif yang kini berusia 20 tahun bakal menjadi prospek JDT pada masa akan datang.
"Wah Alif dah main.. hopefully dapat main first team JDT akan datang, prospek terbaik JDT ni," kata Saiful Bahari.
Turut mendapat pujian ialah Daryl Sham, pemain muda berusia 19 tahun yang lahir dari Akademi JDT dan kini bersama pasukan Harimau Malaya B-19.
"Daryl ni dah boleh up ke JDT I (skuad utama), setahun dua power laa dia ni..," ujar Syed Zaki Al-Qudsi.
Penjaga gol Harimau Selatan, Izham Tarmizi Roslan juga menerima pujian kerana menunjukkan aksi memberangsangkan walaupun kurang beraksi.
"Izham sepatutnya diberi peluang bermain...terbaiklah tak bolos," kata Acap Ashraf.
Perlawanan antara JDT dan Hougang United FC itu adalah aksi pemanas badan berstatus antarabangsa bagi persiapan skuad kendalian Mora untuk berdepan kelab Liga 1 Jepun (J1 League), Urawa Red Diamonds pada aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 18 Ogos ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram