KERAJAAN belum menetapkan sebarang jangka waktu bagi menguatkuasakan pemansuhan hukuman mati mandatori yang telah dipersetujui.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, banyak perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu termasuk cadangan menubuhkan satu tribunal untuk mengkaji kes yang sudah dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah.
"Dari sudut keperlembagaannya, perlu diteliti oleh pihak AG (Peguam Negara) dan kementerian saya kerana kalau bercanggah dengan perlembagaan, ia tidak dapat dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataan medianya pada Jumaat yang memaklumkan persetujuan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Wan Junaidi semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.
Wan Junaidi juga berkata, kerajaan secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.
Jawatankuasa itu, yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum, dianggotai pakar perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi pengajian awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.
Beliau berkata, beberapa seksyen dalam akta yang memperuntuk hukuman mati mandatori serta seksyen lain yang berkaitan juga perlu diperhalusi sebelum pemansuhannya dapat dilaksanakan.
Wan Junaidi berkata, semua kes semasa yang melibatkan mahkamah menjatuhi hukuman mati mandatori namun belum dilaksanakan hukumannya akan ditangguh sehingga pemansuhan itu dikuat kuasa.
"Semua ini kena dikaji satu persatu dan apakah jenis hukuman yang perlu kita buat. Itu tugas saya sekarang sebab kerajaan sudah luluskan menurunkan hukuman-hukuman ini," katanya yang berharap kajian lanjut akan dilaksana kerana kelulusan pemansuhan itu mendapat sokongan penuh semua pihak di negara ini.
Beliau berkata, definisi hukuman mati mandatori perlu difahami kerana terdapat beberapa akta yang tidak memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman lain.
"(Apabila) hukuman mati mandatori ini dihapuskan, kita akan menyerahkan kembali kepada hakim sama ada (untuk menjatuhkan) hukuman mati atau hukuman lain," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram