Anak jati Kedah sudah terima pujian


  • Podium
  • Selasa, 07 Jun 2022

Akmal sah menyarung jersi Kedah untuk membantu pertahanan pasukan itu. — MFL

KEHADIRAN Mohd Akmal Zahir akan memberi gandingan terbaik di benteng pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi baki saingan musim ini, kata Rodney Celvin.

Jelas pertahanan kental pasukan itu, Akmal merupakan pemain yang cukup berkualiti serta mampu membantu Kedah.

"Untuk baki perlawanan akan datang, saya rasa dia (Akmal) boleh beraksi sepertimana dia pernah beraksi dengan Melaka.

"Kita tahu dia pun merupakan pemain pertahanan yang cukup baik, jadi saya harap apabila dia dah datang sini (Kedah), aksi terbaik dapat dilakukan.

"Saya pula percaya saya dengan dia dapat bekerjasama dengan lebih baik untuk sama-sama bantu pasukan," katanya kepada MFL.

Akmal sebelum ini beraksi bersama Melaka United FC, sah menyarung jersi hijau kuning untuk membantu barisan pertahanan pasukan kali ini.

Selepas berdepan dua seri dan dua kekalahan dalam empat aksi terakhir sebelum liga berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan, Rodney sedar persiapan yang cukup rapi dilakukan untuk misi wajib menang dalam aksi seterusnya.

"Sekarang nampak jurulatih lebih fokus kepada aspek taktikal yang lebih baik untuk pemain lebih faham apa yang diinginkan.

"Mestilah kita nak menang dan kami pun sentiasa berbincang dekat sini bagaimana untuk bangkit balik lepas tak menang dalam empat perlawanan sebelum ini.

"Untuk saya, konsisten di atas padang sangat penting untuk kami terus meraih keputusan positif," tambah pemain berusia 26 tahun itu.

Kedah ketika ini berada di tangga keempat Liga Super selepas sembilan perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram