Bekas rakan sepasukan Baddrol, Rizal 'ancam' Sang Badak


  • Podium
  • Selasa, 07 Jun 2022

Skuad Kim Swee akan bertemu Bhayangkara FC pada aksi persahabatan. — Facebook Sabah FC

SIAPA sangka skuad Sabah FC bimbingan Datuk Ong Kim Swee setakat ini cemerlang dalam aksi Liga Super apabila menduduki tangga kedua di belakang Johor Darul Takzim (JDT) dengan dipisahkan satu mata saja.

Walaupun menampilkan aksi terumbang-ambing pada siri perlawanan pemanas badan sebelum musim 2022 bermula, keserasian pemain The Rhinos mula membuahkan hasil selepas Kim Swee 'mengumpulkan' semula skuad emasnya ketika membimbing skuad Bawah 23 tahun negara.

Antara bekas anak didiknya yang membarisi Sabah FC termasuk Dominic Tan, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi Che Mat.

Baddrol dan Rizal antaranya mengambil keputusan untuk berpindah ke Sabah FC pada musim ini setelah sekian lama berkhidmat buat Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Kini kedua-dua legenda Kedah itu bakal bersemuka dengan bekas rakan sepasukan mereka ketika bersama-sama di skuad Hijau Kuning dalam pertemuan persahabatan pada petang Selasa.

Sabah FC akan bersemuka dengan Bhayangkara FC, kelab yang menghuni tangga ketiga Liga 1 Indonesia.

Andik

Andik pernah beraksi bersama Kedah.

Bhayangkara FC dibarisi pemain sayap lincah, Andik Vermansyah yang sebelum ini pernah beraksi di Liga Malaysia bersama Selangor dan Kedah.

Malah pemain berusia 30 tahun itu juga pernah sepasukan dengan Baddrol dan Rizal pada musim 2018.

Kini dia menjadi antara tonggak utama Bhayangkara FC apabila menyumbang enam bantuan gol sepanjang beraksi 29 perlawanan untuk kelabnya itu.

Menariknya, Baddrol dan Andik masing-masing menggunakan jersi nombor 7 yang cukup sinonim sebagai seorang pemain yang berpengaruh dalam pasukan.

Selain Andik, skuad Kim Swee juga perlu waspada dengan ancaman gandingan penyerang Bhayangkara FC, Ezechiel Ndouasel yang sudah meledakkan 11 gol dalam 22 perlawanan dan Melvin Platje yang menyumbat enam gol.

Sabah FC cemerlang dalam aksi pertama perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Persija Jakarta apabila mencatatkan kemenangan 2-1.

Keputusan positif ke atas Bhayangkara FC pada Selasa akan memberi moral terbaik buat pemain Sabah FC untuk meneruskan momentum dalam saingan Liga Super apabila dijadualkan bertemu Sri Pahang FC pada 18 Jun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram