KEGAGALAN skuad Harimau Muda mendapatkan pingat gangsa dalam Sukan Sea di Vietnam selepas tewas kepada Indonesia baru-baru ini menimbulkan kerisauan terhadap masa depan bola sepak negara.
Malah, rentak permainan oleh pemain muda juga nampaknya masih lagi terumbang-ambing hingga mendapat kritikan daripada penyokong dan ada yang tidak setuju dengan senarai pemain yang dipilih untuk beraksi.
Bagi legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir, negara sekarang hanya mengharapkan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) sebagai kilang untuk menghasilkan pemain pelapis.
"Hanya itu sahaja tempat untuk kita mencari pemain muda sedangkan saya melihat ramai lagi pemain yang hebat beraksi di Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (Liga IPT).
"Korea Selatan dan Jepun sebenarnya antara pasukan di mana kebanyakan pemain muda mereka datang dari universiti," katanya kepada Majoriti.
AKSI pemain dari pasukan UPM menentang UiTM dalam Liga IPT. — Facebook
Jelasnya, Liga IPT sebenarnya jauh lebih besar daripada Liga Super tetapi orang tidak pandang kerana ianya diadakan secara tertutup sahaja.
Ujarnya lagi, lebih baik jika Liga IPT dapat dinaik taraf sedikit supaya dapat menarik lebih ramai penaja dan persatuan juga dapat terlibat dalam liga tersebut.
"Bila ada penyertaan ramai pihak, kita mempunyai ruang pilihan pemain yang lebih besar dan bukan sekadar berharap kepada AMD sahaja," katanya.
Ditanya mengenai Liga M3, menurut Jamal, sebelum ini pun banyak pasukan yang menarik diri disebabkan masalah kewangan.
Perkara itu juga katanya akan menyukarkan pemilihan pemain kerana mungkin mereka yang bagus tidak dapat beraksi disebabkan pasukan telah menarik diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram