'Pan-gon hanya kitar semula pemain pilihan TCH'


  • Podium
  • Khamis, 02 Jun 2022

Harimau Malaya meraih gol menerusi sepakan percuma yang dilakukan oleh Safiq pada minit ke-93.

SKUAD kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon berjaya meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila berjaya menundukkan Hong Kong 2-0 ketika perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Gol pasukan Harimau Malaya adalah menerusi jaringan penalti dari Muhamad Safawi Rasid pada babak pertama dan gol kedua pula disumbangkan oleh pemain gantian, Safiq Rahim pada minit ke-93 perlawanan.

Kemenangan itu merupakan kejayaan kedua skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan antarabangsa selepas berjaya meratah pasukan Brunei 4-0 pada Jumaat lepas di venue yang sama.

safawi 2=

Safawi Rasid berjaya menjaring gol pada babak pertama menerusi sepakan penalti.

Meskipun ramai menumpang gembira dengan kejayaan pasukan di bawah bimbingan Pan-gon namun masih juga ada kritikan yang dilemparkan terhadap soal pemilihan barisan skuad Harimau Malaya oleh jurulatih Korea itu.

Peminat Harimau Malaya, Muhamad Nor Izmi menyifatkan Pan-gon merupakan seorang jurulatih yang tidak berani bereksperimen kerana setelah dua perlawanan beliau hanya menurunkan barisan pemain lama iaitu skuad di bawah bimbingan pengendali sebelum ini.

"Selepas dua perlawanan Kim Pan-gon sebelum kelayakan, aku boleh kata Pan-gon tak berani sangat nak guna pemain baharu (kecuali Ruven). Dia cuma guna pemain yang sama Tan Cheng Hoe guna sebelum ini dan meletakkan kepercayaan kepada tiga pemain naturalisasi Malaysia.

"Ingatkan bawa 30 pemain nak ujilah semua pemain, sudahnya guna pemain kegemaran dia sahaja," luah peminat bola sepak itu pada hantaran di halaman semuanyabolagroup.

Apa yang dikatakan oleh pengguna Facebook itu ada benarnya kerana jika dilihat pada kedua perlawanan pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha, Afiq Fazail, Shahrul Nizam dan Kogileswaran Raj belum berpeluang beraksi bersama Harimau Malaya di bawah Pan-gon.

"Afiq, Shahrul Nizal, Kogi, Matyo (Norshahrul) tak merasa game pun. Muka yang sama saja main lawan Brunei lawan Hong Kong. Ingatkan cakap nak tengok depan mata sendiri itu untuk semua pemain, tapi cuma kegemaran dia saja yang dia nak bagi chance tu. Mari kita tengok siapa 23 player yang dia akan bawa nanti," katanya.

Kebanyakannya kesebelasan terbaik yang dipilih ialah dari pemain kelab Johor Darul Takzim (JDT), sebagai contoh pada perlawanan menentang Hong Kong, Pan-gon menyenaraikan lapan pemain JDT sebagai tunjang utama pasukan.

Manakala, ketika perlawanan menentang Brunei pula, jurulatih itu menurunkan lima pemain daripada kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.

Dalam pada itu, ramai yang tertanya senarai pemain yang akan menjadi pilihan Pan-gon untuk mengharungi persiapan terakhir sebelum mengharungi aksi Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula 8 Jun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram