Saya berhubung dengan Penang FC, tapi mereka mahu jurulatih tempatan — Bekas jurulatih Kedah


  • Podium
  • Khamis, 02 Jun 2022

PENANG FC melantik Zainal Abidin untuk menggantikan Tomas Trucha.

SUKA atau tidak, penyokong Penang FC perlu akur dengan keputusan pihak pengurusan yang melantik semula Zainal Abidin Hassan sebagai pengendali skuad Harimau Kumbang itu bagi menggantikan Tomas Trucha.

Rekod Zainal Abidin ketika mengemudi Penang FC pada musim 2017 masih menjadi trauma buat penyokong apabila menyaksikan skuad utara itu menduduki tangga tercorot liga apabila sekadar mencatat tiga kemenangan daripada 16 perlawanan.

Malah rekodnnya mengemudi Melaka United selama tiga musim bermula 2018 juga menjadi ukuran selepas Zainal Abidin hanya berjaya meletakkan Melaka United pada kedudukan kelapan liga dengan hanya merekodkan sebanyak lima kemenangan daripada 22 perlawanan pada musim lepas.

Disebabkan itu, Zainal Abidin dan Melaka United 'berpisah' jua apabila kontraknya tidak disambung pada musim baharu ini.

Kehadiran semula ke Penang FC dianggap sebagai keputusan 'tangkap muat' oleh penyokong kelab itu walaupun mereka sebelum ini mengharapkan pihak pengurusan akan melantik jurulatih yang lebih berkaliber dan mempunyai rekod yang lebih baik.

Sebelum pelantikan Zainal Abidin, Penang FC difahamkan mencari beberapa calon termasuk bekas pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan bekas pengendali Kedah, Ramon Marcote sebagai pengganti Trucha.

Penang FC dikhabarkan tidak dapat memikat Cheng Hoe atas faktor kewangan manakala Marcote diketepikan bagi memberi laluan kepada pemilihan jurulatih tempatan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Marcote yang dihubungi Majoriti baru-baru ini.

Marcote berkata, dia kini dalam perancangan untuk melatih kelab baharu selepas kontraknya bersama kelab remaja Arab Saudi, Al Hilal SFC berakhir pada Februari lalu.

Dia mengakui lebih gemar untuk melatih kelab di Malaysia tetapi kebanyakan pasukan di negara ini ada perancangan mereka sendiri.

"Saya menerima beberapa tawaran luar Malaysia. Di Malaysia, saya ada berhubung dengan Penang FC, tetapi mereka memilih untuk menggunakan jurulatih tempatan," katanya.

Ramon pernah berkhidmat bersama Cheng Hoe ketika membimbing Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015.

Malah Cheng Hoe pernah memberi kepercayaan kepada Ramon untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning semasa beliau menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pada penghujung tahun 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman selepas Cheng Hoe dipanggil untuk membimbing skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram