TEKA-TEKI siapa bakal menerajui Penang FC sudah terjawab apabila pasukan itu mengumumkan secara rasmi bahawa jurulatih Zainal Abidin Hassan kembali mengendali skuad Harimau Kumbang bagi menggantikan Tomas Trucha.
Pihak pengurusan Penang FC membuat tindakan drastik dengan menghentikan khidmat Tomas Trucha meskipun sebelum ini dilaporkan bahawa beliau hanya direhatkan atas faktor keselamatan selepas dinasihatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi kenyataan Penang FC pada media sosial rasminya, kedatangan Zainal Abidin kerana mengambil kira faktor luar dan dalam padang yang boleh menjadi pengaruh positif untuk kebangkitan semula pasukan itu selepas dilihat sedikit terumbang ambing pada awal musim ini.
Tidak dapat dinafikan ada yang menyambut baik kepulangan Zainal Abidin untuk mengemudi Penang FC namun terdapat juga penyokong menyifatkan kedatangan bekas jurulatih pasukan Penang FA pada tahun 2017-2018 itu sekadar tangkap muat.
Tangkap layar pendapat dari penyokong Penang FC berhubung lantik Zainal Abidin sebagai jurulatih baharu pasukan itu.
"Tangkap muat sahaja ni. Pusing-pusing di situ juga. Nasib kita la peminat. Nak Penang semakin ke depan tapi pengurusan ke belakang pulak," kata Comodo Malaya Juna.
"Gaji dia ini tiada 20-30 ribu. Performance bukan hebat mana sangat pun. Kamal Khalid yang pilih dia ini. Jangan kata Chan Kon Yeow suruh pergi ambil. Awal-awal sudah bagi penyokong naik angin. Baru saja seronok Malaysia masuk Final Piala Asia Hoki. Datang pula Zainal ini. Aduii memang nak kena maki Penang FC ini," komen satu lagi pengguna, Izwan Bin Idris.
"Dulu dah buang sebab teruk lepas itu pasukan lain pula buang sebab teruk. Sekali kita kutip balik? Nampak sangat pengurusan tidak belajar dari kesilapan," kata Muhammad Addin Anuar.
Muhammad Addin Anuar tidaklah bercakap kosong apabila menyifatkan pengurusan Penang FC seakan tidak belajar dari kesilapan kerana sebelum ini di bawah kendalian Zainal Abidin, Harimau Kumbang ketika musim 2017 berada pada tangga tercorot liga dengan 16 kekalahan dan tiga kemenangan sahaja.
Sebelum ini, Zainal mengemudi Melaka United selama tiga musim bermula 2018 namun jodoh antara Zainal Abidin yang juga bekas pemain kebangsaan era 90-an dengan skuad Hang Tuah tidak berpanjangan apabila khidmatnya menemui titik noktah pada musim 2022.
Sewaktu Liga Super musim 2021, Zainal Abidin hanya berjaya meletakkan Melaka United pada kedudukan kelapan liga dengan hanya merekodkan sebanyak lima kemenangan daripada 22 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram