Babak pertama pamer disiplin luar biasa, tapi kalah sebab terlalu beri peluang — Maloney


  • Podium
  • Jumaat, 03 Jun 2022

Maloney akan mengkaji semula corak permainan skuad negara yang sebelum ini berjaya menumpaskan Thailand. — Agensi

KEKALAHAN skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan kepada Korea Selatan pada aksi pembukaan Kumpulan C, Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan, pada Khamis berpunca daripada sikap pemain yang terlalu membuka peluang buat pasukan lawan.

Perkara itu diakui pengendali skuad B-23 Brad Maloney, yang pada masa sama tetap berbangga dengan usaha keras anak buahnya kerana sudah menjangkakan perlawanan sukar menentang juara bertahan.

Maloney berkata, pada babak pertama, anak buahnya mempersembahkan disiplin luar biasa sehingga menyukarkan pihak lawan untuk membolosi gol pasukan negara.

"Saya boleh berbangga dengan persembahan pemain tapi kita terlalu memberi mereka (Korea Selatan) peluang dan akhirnya mereka menghukum kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan pada Khamis.

Pengendali dari Australia itu berkata, memasuki babak kedua perlawanan, skuad negara menukar corak permainan dan nyata ia membuahkan hasil apabila ketua pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya menjaringkan gol.

Mengenai pertemuan dengan Thailand, pada Ahad, Maloney berkata, beliau akan mengkaji semula corak permainan skuad negara yang sebelum ini berjaya menumpaskan lawan sama semasa Sukan SEA, Hanoi di Vietnam.

Malaysia yang pernah layak ke suku akhir kejohanan pada edisi 2018 di China akan menamatkan saingan kumpulan dengan menentang pemenang pingat emas Sukan SEA ke-31, Vietnam pada 8 Jun 2022 bagi merebut dua tempat teratas untuk mara ke pusingan suku akhir. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram