SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara membuka saingan Piala Asia B-23 dengan langkah kiri apabila tewas 1-4 di tangan juara bertahan, Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan, pada Khamis.
Anak-anak buah bimbingan Brad Maloney dilihat lebih banyak mempamerkan permainan bertahan yang menyaksikan asakan demi asakan hingga gawang negara dibolosi seawal minit ke-31.
Kelebihan sememangnya nampak berpihak kepada Korea Selatan selaku juara bertahan dari segi kualiti permainan dan tahap persediaan.
Berikut adalah lima talking point yang menjadi bualan penyokong bola sepak tanah air terhadap permainan yang ditunjukkan oleh Harimau Muda.
1) Persiapan tidak rapi
Selepas tamat Sukan SEA 2021, skuad B-23 negara hanya dapat menjalani latihan dalam tempoh singkat sebelum 'terbang' ke Uzbekistan bagi menhadapi saingan Piala Asia B-23. Berbeza dengan Sukan SEA 2021, perlawanan di peringkat itu memerlukan latihan berintensiti tinggi.
Aspek kejurulatihan juga mempengaruhi latihan kerana dirasakan tidak memberi perubahan kepada corak permainan Harimau Muda.
"Tiada perubahan apa-apa game Malaysia. Mudah hilang kawalan bola, menyerang pun mudah dipatahkan, diserang pula mudah lolos. Sampai bila pendekatan nak biarkan saja skuad B-23 macam ni sedangkan mereka masa depan bola sepak negara.
"Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh dah sepatutnya menampakkan level lebih baik dari pemain-pemain lain tetapi sebaliknya yang berlaku. Terjawablah sudah kenapa Luqman masih gagal dapat tempat (kesebelasan utama) di K.V. Kortrijk," kata Kay Min.
2) Taktikal
Selain kurang pendedahan terhadap latihan berintensiti tinggi, skuad Harimau Muda juga dikatakan tidak memiliki gameplay yang kemas dan tersusun.
"Apa yang boleh dilihat pemain-pemain Malaysia memang kalah dari segi intelligent football. Itu salah satu sebab kenapa Liga Jepun atau Korea lebih memilih pemain Thailand dan Vietnam. Pemain Malaysia bila dapat bola macam tepu tak tau nak buat seolah-olah tak pernah training bersama, main ikut kepala sendiri. Bak kata orang kampung, main bola tak cerdik tendang ikut suka saja," kata Abdl Rahman.
"Kesilapan Malaysia kerana terlalu bersungguh-sungguh mencari gol, sedangkan Korea bersahaja macam training, realitinya bukan skuad terkuat yang dibawa. Sukan SEA kita kena, Piala Asia ni dah boleh jangka awal-awal," kata Payed Akiem.
PEMAIN skuad Harimau Muda kurang mendapat pendedahan terhadap latihan berintensiti tinggi. — Facebook
3) Asas bola sepak
Persembahan skuad B-23 negara yang rata-rata dibarisi pemain 20 tahun ke bawah belum cukup menyerlah, malah setakat ini tiada pemain yang benar-benar menunjukkan aksi matang dan berani seperti pemain sayap kanan Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Seorang penyokong, Nasih Munzir merasakan semua pemain yang main untuk skuad B-23 wajib masuk balik akademi JDT untuk jadi pemain matang.
"Masuk JDT4 seterusnya JDT3. kalau dah lepas kedua-dua JDT baru masuk JDT2. Proses yang sama yang Arif Aiman lalui untuk menjadi pemain matang. Pemain yang ada nampaknya separuh masak. DNA mereka tidak jelas.
"Kalau begini keadaannya, mereka tidak akan belajar. Mereka perlu belajar sesuatu yang mempunyai matlamat dan visi jelas. Lepas ni, yang B-23 ke, under berapakah, hantar sahaja pemain ke Akademi JDT," katanya.
4) Pemain warisan
Selain aspek teknikal, ada sebab lain yang dirasakan menjadi sebab skuad Harimau Muda tidak cukup menyengat seperti pasukan lain.
Mereka merasakan skuad B-23 negara ketandusan pemain warisan atau berdarah kacukan Malaysia kerana kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenal pasti bakat-bakat muda ini di luar negara selain didakwa kurang efisien menjalankan urusan dokumentasi mereka.
5) Cuaca
Keadaan cuaca yang sejuk sebenarnya menjadi antara faktor yang mempengaruhi skuad Harimau Muda. Meskipun sudah menyesuaikan diri, keadaan itu mungkin memberi impak berbeza kepada skuad negara ketika mereka bermain di bawah tekanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram