'Balik-balik harap muka sama' — Luqman, Hadi antara nama dipetik tak 'perform'


  • Podium
  • Jumaat, 03 Jun 2022

Luqman tampak tenggelam ketika aksi berdepan Korea Selatan malam tadi. — Facebook/FAM

PASUKAN bawah 23 (B-23) kebangsaan terpaksa akur apabila terpaksa menerima kekalahan 1-4 di tangan Korea Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Piala Asia yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Uzbekistan pada Khamis.

Kekalahan berturut skuad di bawah kendalian Brad Maloney itu nampaknya terus mendapat kritikan daripada penyokong bola sepak tanah air yang mendahagakan aksi cemerlang dari barisan pemain muda berkenaan.

Mana tidaknya, pada aksi sebelum ini Harimau Muda turut menghampakan rakyat Malaysia apabila gagal mendapatkan pingat gangsa dalam perlawanan menentang Indonesia bagi saingan Sukan SEA ke 32 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam.

Antara isu yang diperdebatkan dalam kalangan penyokong ialah pemilihan barisan pemain kerana mereka menyifatkan pihak pengurusan seakan tidak pernah belajar daripada kesilapan sebelum ini.

barisan

Kesebelasan utama yang diturunkan pada perlawanan menentang Korea Selatan. — Facebook FAM

Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak antara nama yang dipetik penyokong sebagai pemain yang kurang memberikan persembahan terbaik namun masih sahaja menjadi pilihan Brad Maloney untuk barisi jentera serangan.

"Balik awallah, macam tiada persiapan langsung. Main macam bawah 18, budak sekolah, hantaran ke laut, pertahanan macam budak sekolah main. Objektif dan direction tiada. Luqman sama dengan De Paula, Hadi sama dengan Sumareh senang cerita. Si Quentin Chen pula macam tiada tenaga dan idea nak main," kata penyokong, Mohd Nizar.

"Paling tak suka Hadi Fayyadh (si lembik lemah gemalai). Langsung tiada tokoh seorang penyerang. Jenis wayar bumi apa yang dia pasang dekat FAM tidak tahulah. Lebih kepada pustakawan saja abang tengok," dakwa seorang lagi penyokong bola sepak kebangsaan, Faizal Padijal.

"Luqman itu balik main sini sajalah. Tiada impak langsung. Ajmal main jadi penyerang pun lagi elok. Syahir pun nampaklah impak sikit," kata Nor Azhar Othman.

Malah, ada juga penyokong menyarankan agar kedua pemain itu untuk menghiasi bangku simpanan daripada dipilih menjadi barisan kesebelasan utama pada perlawanan selepas ini.

Kemarahan penyokong ini bukan hanya merujuk kepada perlawanan menentang Korea Selatan sahaja tetapi juga rentetan dari kegagalan mereka pada sepakan penalti sewaktu perebutan pingat gangsa temasya Sukan SEA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram