KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) dikhabarkan sedang berusaha untuk menggantikan pemain-pemain import utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan pentas Piala AFC 2022 yang akan berlangsung pada Jun.
Seorang pemain dari Timur Tengah kini menjadi sasaran pasukan Kedah bagi memperkuatkan skuad Hijau Kuning selepas jendela perpindahan kedua kembali dibuka pada Sabtu (28 Mei).
Dikhabarkan pengurusan pasukan Kedah masih dalam rundingan memilih pemain posisi tengah dari negara Timur Tengah bagi menggantikan Jang Suk-won yang ditamatkan kontrak atas persetujuan bersama.
Di sosial media pula, peminat sudah membuat spekulasi tentang pemain-pemain yang berasal dari negara Timur Tengah yang akan ditandatangani oleh Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak.
Berikut adalah 5 senarai pemain negara Timur Tengah yang wajar disasarkan Kedah untuk memantapkan persediaan skuad gergasi utara tanah air itu bagi mencabar semula kejuaraan Liga Super serta mengharungi kempen Piala AFC nanti:
Thiago mempunyai rekod yang cemerlang dalam saingan Liga M apabila menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama Felda United. — Facebook
1. Thiago Augusto (Bahrain)
Bekas penyerang prolifik Felda United dan Kedah, Thiago Augusto Fernandez telah menjadi pemain naturalisasi skuad kebangsaan Bahrain pada tahun 2019 yang mana kini menjadi calon utama pasukan KDA FC bagi jendela perpindahan kedua.
Pemain yang berusia 32 tahun itu kini beraksi dengan kelab Al Bataeh Club serta mempunyai rekod yang cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2017 dan 2018 yang mana dia menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama Felda United.
Thiago juga pernah dicalonkan untuk menjadi pemain naturalisasi skuad kebangsaan Harimau Malaya selepas pemain tersebut telah beraksi selama lima musim dalam Liga M sebelum dia memilih untuk kembali ke Bahrain.
Pemain kelahiran Brazil ini cemerlang beraksi bersama pasukan Kedah dengan empat jaringan gol dalam tujuh penampilan pada tahun 2017 dan Thiago mampu menjadi pengganti yang sesuai untuk kembalikan prestasi pasukan Hijau Kuning dalam saingan Liga Super dan Piala AFC.
Ataya pemain import paling cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim 2020 di mana dia membantu pasukan UiTM menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam. — Facebook
2. Rabih Ataya (Lubnan)
Pemain sayap kelahiran Lubnan berusia 32 tahun iaitu Rabih Ataya pernah menyarung jersi pasukan Hijau Kuning pada musim 2021 dan mempamerkan aksi yang agak baik buat pasukan itu.
Ataya merupakan pemain sayap yang mempunyai fizikal dan kepantasan yang baik untuk diletakkan sebagai penyerang pasukan Kedah kerana dia mempunyai kemahiran dalam membantu rakan sepasukan untuk menjaringkan gol.
Pengalaman beraksi di pentas akhir Piala AFC 2019 dan menjuarai edisi musim tersebut amat penting bagi Kedah untuk mempertimbangkan khidmatnya untuk sekali lagi menjadi jeneral buat Kedah di bahagian tengah.
Ataya dianggap sebagai salah satu pemain import paling cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim 2020 di mana dia membantu pasukan UiTM menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam, memiliki kutipan mata sama dengan pasukan Selangor iaitu 17 mata.
Yashir pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga Malaysia seperti Melaka United, Perak FC dan PKNP FC pada musim 2017 hingga 2020. — Agensi
3. Yashir Islame Pinto (Palestine)
Pemain sayap yang pernah menjaringkan gol rabona ketika berdepan pasukan Kedah pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak merupakan calon bagi mengisi kuota import pasukan KDA FC.
Yashir ketika itu menjaringkan gol pembukaan pada minit 37 selepas mendapat hantaran daripada ketua pasukan bawah 23 tahun negara, Mukhairi Ajmal. Kedah membalas pada separuh masa kedua menerusi jaringan penyamaan Fernando Rodriguez pada minit 49 dan gol kemenangan disumbangkan David Rowley, pada minit 73.
Pemain sayap berusia 31 tahun itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga Malaysia seperti Melaka United, Perak FC dan PKNP FC pada musim 2017 hingga 2020.
Yashir kini sedang beraksi bersama pasukan Khon Kaen United dalam saingan Liga Thailand dan dia telah menjaringkan empat gol dan empat bantuan jaringan gol dalam 24 penampilannya serta membantu pasukan itu menduduki tangga ke-10 dalam liga.
Hilal telah pun menjaringkan empat gol dan melakukan satu bantuan gol dalam lapan perlawanan dalam saingan Liga Malaysia bersama Penang FC. — Agensi
4. Hilal El-Helwe (Lubnan)
Penyerang skuad kebangsaan Lubnan, Hilal El-Helwe, boleh dipertimbangkan oleh Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Shahrin bagi mengisi kekosongan kuota import buat pasukannya, ini kerana reputasi cemerlang yang dibawa pemain tersebut.
Hilal bukan calang-calang pemain kerana dia merupakan tonggak skuad kebangsaan Lubnan yang beraksi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan pernah mewakili negaranya dalam Piala Asia 2019.
Pemain itu menjaringkan dua gol menentang Korea Utara dalam Piala Asia AFC 2019, membantu Lubnan memenangi perlawanan pertama mereka dalam pertandingan itu.
Baru sahaja menyertai pasukan Penang FC, Hilal telah pun menjaringkan empat gol dan melakukan satu bantuan gol dalam lapan perlawanan dalam saingan Liga Malaysia.
Hilal juga mempunyai pengalaman luas apabila pernah beraksi dalam saingan Liga Jerman, Liga Greece, Liga Jordan dan Lubnan sebelum berhirah ke Malaysia bagi menyertai pasukan Penang FC.
TMJ berhasrat untuk menjadikan pemain berdarah kacukan Argentina-Iraq ini sebagai pemain naturalisasi sekaligus beraksi bersama skuad kebangsaan. — Facebook
5. Gonzalo Cabrerra (Iraq)
Bekas pemain sayap pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Gonzalo Cabrrera kini dikaitkan salah seorang pemain yang akan beraksi bersama pasukan Hijau Kuning selepas dia kini tiada pasukan.
Tengku Mahkota Johor (TMJ) pernah berhasrat untuk menjadikan pemain berdarah kacukan Argentina-Iraq ini sebagai pemain naturalisasi sekali gus beraksi bersama skuad kebangsaan.
Cabrrera telah menjadi salah seorang pemain import terbaik yang pernah dimilik oleh pasukan JDT sejak di bawah pengurusan TMJ apabila dia menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang masa buat pasukan Harimau Selatan itu.
Jika pasukan Kedah berjaya mendapatkan pemain ini, ia merupakan satu bonus buat pasukan Hijau Kuning kerana pemain sayap ini sudah menepati syarat FIFA untuk melayakkan diri menjadi pemain tempatan.
Sepajang beraksi bersama JDT, Cabrrera telah berjaya membantu JDT memenangi Piala Sumbangsih, Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram