3 anak jati Penang bayangi ‘Zulhelmi Ceruk Tok Kun’


  • Podium
  • Sabtu, 28 Mei 2022

De Paula berjanji akan terus memberikan aksi terbaiknya sekiranya disenaraikan lagi pada satu lagi perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 1 Jun ini.

SKUAD Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk menewaskan Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.

Aksi persahabatan yang boleh diibaratkan aksi pemanas badan sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E mulai 8 hingga 14 Jun nanti itu secara keseluruhannya didominasi oleh skuad kendalian Kim Pan-gon itu.

Empat gol itu disumbangkan oleh Muhammad Syafiq Ahmad (minit ke-16); Muhammad Syameer Kutty Abba (minit ke-41) dan Mohamad Faisal Abdul Halim (minit ke-58) selain Guilherme De Paula (minit ke-83) menerusi sepakan penalti.

Kelab penyokong Penang Brotherhood memuji tiga pemain tempatan yang dilihat mempamerkan aksi cukup mengagumkan dalam aksi di hadapan penyokong sendiri itu.

Ketiga-tiga pemain tersebut yang juga anak kelahiran Pulau Pinang dilihat tidak henti-henti mengasak Brunei untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.

Persembahan menyerlah daripada mereka dikatakan seolah-olah membayangi De Paula yang terpalit kontroversi selepas diberi peluang beraksi dalam skuad kebangsaan meskipun tiada minit perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Hat buh gol semalam depa kata dari Penang (Yang jaringkan gol semalam, orang kata dari Penang)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Penang Brotherhood berkata, tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad berasal dari Sungai Ara; jentera tengah, Syamer Kutty yang juga pemain JDT dari Kampung Dodol, George Town manakala pemain sayap, Faisal Halim (Terengganu FC) dari Mengkuang Titi, Permatang Pauh.

"Syafiq (Sungai Ara), Syamer (Kg Dodol), Faisal (Mengkuang Titi), habis De Paula takkan Cerok To’Kun?," tulisnya.

De Paula hampir menjaringkan gol, namun tandukannya gagal menepati sasaran selepas menerima hantaran silang dari V. Ruventhiran pada minit ke-47.

Pemain kelahiran Brazil itu bagaimanapun menebus kesilapan selepas menyumbat masuk sepakan penalti pada minit ke-83.

Menjengah ruangan komen, ramai penyokong bola sepak tanah air meninggalkan komen berbaur sindiran terhadap penyerang naturalisasi itu walaupun telah membantu Harimau Malaya membaham Brunei.

"Zulhelmi De Paula, penyerang sensasi Malaysia. Anak jati Batu 42 Baling, Kedah," kata Mohamad Afiq Mansor.

ResHvinderpal Singh pula berkata, "Lord Paula founded his midas touch! Confirm Harimau Malaya akan jadi Juara Piala Asia 2023 nanti!!."

"Auto meremang De Paula jaringkan gol," kata Azam Aziz.

"Dialah wira negara, layak diberi gelaran Datuk," tulis Syiran Adlie.

Sementara itu, De Paula seperti dilaporkan portal Harimau Malaya tidak pernah kisah atau peduli dengan segala kritikan dan tohmahan penyokong terhadap aksi persembahannya.

Menurut De Paula, beliau hanya fokus pada permainan dan arahan yang diberikan oleh Pan-gon.

Dia turut berjanji akan terus memberikan aksi terbaiknya sekiranya disenaraikan lagi pada satu lagi perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 1 Jun ini.

Selepas bertemu Hong Kong, Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram