BERMULA Sabtu (28 Mei) sehingga 24 Jun, jendela perpindahan pemain kembali dibuka untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) merangkumi Liga Super dan Liga Premier bagi musim 2022.
Para penyokong skuad masing-masing dilihat semakin rancak membuat spekulasi dan bergosip sesama sendiri mengenai pemain baharu yang akan menyertai kelab kesayangan mereka, selain siapa pula akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan masing-masing.
Dalam tempoh jendela perpindahan yang bermula pada Sabtu, terdapat beberapa pasukan telah menyenaraikan beberapa pemain dan perkara itu juga diumum melalui Facebook rasmi kelab.
Berikut merupakan senarai lima pemain yang sudah terlerai 'jodoh' bersama kelab masing-masing atas pelbagai faktor termasuk kurang minit permainan, kecederaan jangka panjang serta prestasi tidak konsisten:
1) Jang Suk-won
Pemain dari Korea Selatan itu secara rasminya meninggkalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu dan perkara tersebut diumumkan melalui kenyataan yang dikeluarkan di halaman Facebook kelab berkenaan.
Difahamkan, KDA FC dan Suk-won telah mencapai persetujuan untuk penamatan kontrak lebih awal selepas mempertimbangkan permohonan pemain tersebut bagi mendapatkan rawatan pemulihan jangka panjang.
Semusim bersama KDA FC, Suk-won yang bermain di bahagian pertahanan membantu Sang Kenari dengan membuat 10 penampilan di Liga Malaysia.
2) Syamin Baharuddin
Syamin akui kekurangan minit permainan faktor beliau dipinjamkan.
Penang FC pada hantaran rasmi di Facebooknya mengumumkan pemain pertahanan, Syamin Baharuddin telah dipinjamkan ke pasukan Liga M3, Manjung City FC sehingga musim 2022.
Menurutnya, pemberitahuan itu diumumkan pada saaat akhir dan beliau harus akur dengan keputusan itu kerana kekurangan minit permainan yang dihadapinya bersama Penang FC.
Hanya tampil sebanyak dua kali bersama Penang FC, Syamin akui kekurangan minit permainan membelenggu dirinya kerana beliau terpaksa bersaing dengan pemain tempatan lain.
3) Syafiq Ahmad
JDT memanggil kembali Syafiq selepas dipinjamkan beberapa bulan ke KDA FC.
Notis pertukaran status yang paling menggemparkan apabila Syafiq Ahmad dipanggil kembali ke pasukan lamanya, Johor Darul Takzim (JDT) selepas beberapa bulan dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Perkembangan itu sudah semestinya satu tamparan hebat buat KDA dan penyokong kerana skuad itu kini sedang mempersiapkan pasukan menghadapi Piala AFC pada Jun ini, selain sedang cuba memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.
Kehilangan Syafiq pastinya sangat dirasai KDA FC kerana penyerang itu antara pemain yang cukup cemerlang bersama Sang Kenari dan perkara itu dibuktikan apabila beliau berjaya menyumbangkan dua jaringan serta empat bantuan hantaran (assist) pada musim ini, selain turut meletakkan nama selaku penjaring ketika membantu Harimau Malaya menumpaskan Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Jumaat.
4) Billy Ketkeophomphone
Billy hanya tampil sebanyak lima kali bersama Sri Pahang pada musim ini.
Pemain Tok Gajah, Billy Ketkeophomphone memegang reputasi sebagai pemain pertama Laos yang beraksi di Liga Super, namun prestasinya bersama Sri Pahang dilihat tidak cukup memuaskan hati para penyokong.
Oleh itu, majoriti penyokong berharap Billy akan disenaraikan dalam jendela perpindahan kali ini dan spekulasi itu semakin bertiup kencang apabila tular gambar seorang pemain baharu yang difahamkan akan menggantikannya.
Sepenjang musim 2022, Billy hanya tampil sebanyak lima kali yang mana empat daripadanya ialah bagi saingan Liga Super manakala sekali untuk Piala FA.
5) Mahmoud Zatara
Zatara sekadar menjaringkan satu gol sejak awal musim tahun ini.
Seperti rakan sepasukannya Billy, penyerang import Sri Pahang, Mahmoud Zatara juga difahamkan tersenarai dalam jendela perpindahan pemain untuk musim 2022 ini.
Prestasi tidak menentu penyerang dari Jordan itu tidak disenangi penyokong kelab Tok Gajah dan peminat berharap agar pemain itu dibuang serta-merta.
Setakat ini, Zatara sekadar menjaringkan satu gol ketika bertemu dengan Melaka United yang menyaksikan Sri Pahang kalah 1-2, itu pun jaringan itu hanya menerusi sepakan penalti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram