Hilang cincin tunang, wanita reka cerita kena rompak, takut dimarahi bakal suami asal Britain


  • Maya
  • Khamis, 29 Mei 2025

Ratana kini berdepan tindakan undang-undang kerana membuat laporan polis palsu. — Gambar Hiasan

CINCIN pertunangan dianggap simbol paling penting sebelum melangkah ke alam perkahwinan, jadi kehilangan barang berharga itu pastinya mimpi ngeri yang sukar untuk diakui kepada pasangan.

Namun bagi seorang wanita di Thailand, bukan sahaja kehilangan cincin itu, malah turut kehilangan maruah dan bakal suami selepas kisah penipuannya terbongkar.

Menurut laporan Pattaya News yang kini menjadi tajuk utama di Thailand, wanita bernama Ratana telah membuat laporan polis mendakwa dirinya telah dirompak oleh tiga pemuda penagih dadah.

BACA LAGI: Sanggup gerak pukul 4 pagi dari Pulau Pinang ke Bukit Jalil tengok 'game' MU, kejutan hari jadi anak pengikat kasih keluarga

BACA LAGI: Rekaan biophilic akses kepada alam semula jadi, gaya hidup hijau buat kediaman lebih tenang

Dia mendakwa akibat kejadian itu telah kehilangan wang sebanyak 32,000 baht (kira-kira RM4,100) dan cincin pertunangan diberikan pasangan yang berasal dari Britain.

Pihak polis kemudian menjalankan siasatan, termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan namun tidak menemui sebarang bukti menyokong dakwaan Ratana.

Ratana mengaku terpaksa mereka cerita kerana takut dimarahi tunangnya. Agensi

Ratana akhirnya dipanggil semula ke balai polis untuk disoal siasat.

Ketika disoal, dia tidak dapat menahan air mata dan mengaku bahawa kejadian rompakan tersebut tidak pernah berlaku.

Menerusi laporan Pattaya Mail, Ratana mengaku terpaksa mereka cerita itu kerana takut dimarahi teman lelakinya jika dia mengetahui cincin pertunangan tersebut telah hilang.

Dia turut mengaku bahawa cuba mendapatkan laporan polis sebagai 'bukti' bagi menguatkan ceritanya.

Namun, langsung tidak menyangka bahawa cerita rekaan itu akan menjadi kes jenayah dan tular.

Dalam keadaan penuh penyesalan, Ratana memohon maaf kepada pihak polis sambil menangis teresak-esak.

Ratana tidak menyangka bahawa cerita rekaan itu akan menjadi kes jenayah dan tular. Agensi

Lebih malang lagi, selepas tembelangnya pecah, teman lelakinya mengambil keputusan untuk meninggalkannya.

Selain itu, Ratana kini berdepan tindakan undang-undang kerana membuat laporan polis palsu.

Susulan kejadian itu, polis tempatan, Sarawut Kornpong mengingatkan orang awam agar tidak membuat laporan palsu kerana ia membazirkan sumber pihak berkuasa dan mencemarkan imej Pattaya sebagai destinasi pelancongan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram