Polis tahan 20 suspek, kes serang, tetak Pengarah PHEB selesai


  • 112
  • Khamis, 02 Jun 2022

Mohd Shuhaily berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah.

POLIS Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes serang dan tetak membabitkan Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Datuk M Ramachandran dalam kejadian pada tahun lalu menerusi penahanan 20 suspek dalam beberapa siri tangkapan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah itu termasuk dua lelaki yang baharu ditahan pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 27 dan 48 tahun ditahan di sebuah hotel di Pulau Pinang pada pukul 2.15 pagi.

"Polis merampas sebuah kereta jenis Hyundai Sonata berwarna hitam yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

"Susulan penahanan dua lelaki tersebut, polis sedang mengesan seorang lelaki bernama, S Dinish, 22, yang beralamat terakhir di Taman Semenyih Impian, Selangor, bagi membantu siasatan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, sepanjang siasatan kes tersebut selain dua lelaki yang baharu ditahan, polis menahan 16 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 53 tahun untuk membantu siasatan.

"Kesemua yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah," katanya.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa telah menutup kes melibatkan kes cubaan membunuh Ramachandran.

Ramachandran, 70, parah ditetak sekumpulan individu dalam satu kejadian di hadapan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok, Bukit Mertajam pada malam 24 Julai 2022.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian leher, paha, belakang kepala serta badan akibat diserang dengan senjata tajam.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang turun dari kereta untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum diserang oleh empat lelaki. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram