Walau suami terpalit kontroversi, Lisdawati tetap doakan hubungan kekal hingga tutup mata


  • Hiburan
  • Khamis, 02 Jun 2022

Lisdawati mengakui dia cukup kenal dengan keperibadian suaminya.

WALAUPUN nama pelakon, Fauzi Nawawi sebelum ini sering dihimpit kontroversi, isterinya, Lisdawati Nazaruddin tetap tenang dan tidak meninggalkan sebarang komen mengenainya di media sosial.

Menurut Lisdawati, dia lebih selesa untuk tidak mengulas apa sahaja kontroversi membabitkan suaminya kerana sudah lama mengenali keperibadian Fauzi.

"Memang saya tidak akan ulas apa sahaja kontroversi, fitnah atau aib suami kerana saya kenal dia luar dan dalam.

"Malah, saya sentiasa berdoa supaya hubungan suami isteri ini terus kekal sehingga kami menutup mata," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-06-02 at 3.49.08 PM

Lisdawati selesa untuk tidak mengulas sebarang kontroversi melibatkan suaminya.

Untuk rekod, Fauzi sebelum ini dikritik kerana menceritakan adegan rogol dalam satu daripada filemnya pada tahun lalu.

Disebabkan kritikan itu, Fauzi juga terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Raja Farah yang menjadi gandingannya dalam babak rogol tersebut.

Menurut Lisdawati, apa sahaja kritikan yang dilemparkan kepada Fauzi, selaku isteri dia diserahkan kepada ALLAH.

"Isu apa sekali pun, kalau ada yang komen, saya doakan mereka kembali ke pangkal jalan dan lebih mendekatkan diri kepada ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Lisdawati turut menafikan jika suaminya telah diboikot dalam industri seni ekoran insiden tersebut.

Tambahnya, dia bersyukur kerana rezeki suaminya masih melimpah ruah sehingga kini dan percaya ramai lagi penerbit dan pengarah yang yakin dengan bakat Fauzi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram