Lelaki maut alami sawan selepas diurut


  • Benua
  • Khamis, 02 Jun 2022

Hasil siasatan awal polis mengesahkan tiada sebarang kesan keganasan ditemui pada mayat mangsa.

SEORANG lelaki berumur 37 tahun ditemui meninggal dunia di kawasan Cakung, Jakarta Timur, Indonesia.

Berdasarkan laporan pihak polis, lelaki itu mengalami sawan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

"Betul. Polis Cakung sudah mengendalikan kes itu," kata Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Kombes Budi Sartono ketika dihubungi pada Khamis.

Peristiwa itu terjadi pada Rabu sekitar pukul 11.00 waktu Malaysia dan pada ketika itu mangsa meminta saksi dikenali sebagai AR, 22, untuk datang ke rumahnya bagi sesi urutan.

Selama kira-kira 10 minit mangsa diurut oleh AR, tiada tanda-tanda pelik terjadi kepada lelaki itu namun semasa saksi hendak pulang, pemuda itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Menurut keterangan saksi, ketika saksi 1 (AR) beredar, mangsa mengalami sawan dan tidak lama kemudian meninggal dunia,” kata Budi.

Bagaimanapun, hasil siasatan awal polis mengesahkan tiada sebarang kesan keganasan ditemui pada mayat mangsa.

"Mangsa meninggal dunia akibat sakit. Tiada sebarang kecederaan ditemui pada badan mangsa," katanya.

Selain itu, kenyataan keluarga menyatakan mangsa mempunyai sejarah vertigo iaitu merasakan diri seolah-olah sedang berpusing, pening dan loya.

“Menurut saksi, mangsa sering mengalami vertigo,” kata Budi.

Vertigo boleh terjadi akibat dari satu keadaan yang menjejaskan telinga dalam atau sebahagian daripada otak manusia yang melibatkan keseimbangan badan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram