Kalau ikut rentak lawan Brunei, Harimau Malaya bakal kalah menentang Hong Kong — Jamal Nasir


  • Podium
  • Rabu, 01 Jun 2022

Aksi skuad kebangsaan ketika bertemu dengan Brunei dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.

SELEPAS menang 4-0 ke atas Brunei dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, ramai yang menantikan aksi yang lebih menarik daripada skuad kebangsaan.

Namun menentang Hong Kong yang kini berada di tangga ke 147 dunia adalah perlawanan yang boleh dianggap sebagai ujian sebenar kepada skuad kebangsaan.

Bagi legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, dia menjangkakan bahawa skuad kebangsaan akan kalah atau sekadar seri dalam perlawanan pada Rabu.

Menurutnya, jangkaan itu adalah berdasarkan kepada prestasi yang dipamerkan sewaktu menentang Brunei sebelum ini.

WhatsApp Image 2022-06-01 at 1.26.41 PM

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir.

"Kalau main macam ketika lawan Brunei memang susah kita nak menang. Mungkin kalah 1-0 atau sekadar seri. Hong Kong adalah satu pasukan yang agresif walaupun mereka lebih banyak senyap sebelum ini.

"Saya menilai prestasi pasukan negara berdasarkan perlawanan sebelum ini dan saya tak nampak ada perubahan yang ketara walaupun kita mempunyai jurulatih yang baharu," katanya.

Menurut Jamal, beberapa pemain yang ada walaupun sudah berpengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan seakan tidak menggunakan seluruh kemampuan yang ada.

Sebagai contoh katanya, pemain di bahagian tengah, Safiq Rahim yang dianggap memberikan persembahan mengecewakan ketika perlawanan sebelum ini.

"Ketika bertemu Brunei, Safiq lebih banyak menunggu bola sedangkan dia bermain di bahagian tengah. Bahagian itu ibarat enjin pasukan dan dia perlu mencorak permainan dengan baik.

"Kalau masih sama, memang susah nak menang dengan Hong Kong apatah lagi pasukan itu sudah lama dibina dan berpengalaman lebih daripada skuad negara," katanya.

284606599_707077627032143_5537273244725439418_n

Kapten pasukan negara, Safiq Rahim dilihat tidak memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan persahabatan menentang Brunei. — Facebook

Tambahnya, dia tidak mahu menghentam skuad kebangsaan tetapi jangkaannya itu adalah pandangan jujur dan ikhlas berdasarkan prestasi semasa skuad negara.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan pada Rabu malam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selepas Hong Kong, skuad kebangsaan akan memulakan perjuangan dalam perlawanan kelayakan di Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Turkmenistan pada 8 Jun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram