Menjelang aksi Malaysia-Hong Kong, polis periksa badan, beg penonton di pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil


  • Massa
  • Rabu, 01 Jun 2022

Penonton tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis serta pemetik api, objek tajam, senjata, minuman keras selain payung atau tongkat.

POLIS meningkatkan kawalan keselamatan sepanjang perlawanan persahabatan Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, penugasan kawalan di dalam dan luar stadium ini bermula pukul 5.30 petang bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan di pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium. Petugas akan memeriksa badan mahu pun beg yang dibawa penonton," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhammad Idzam berkata, penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti mercun dan bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis serta pemetik api, objek tajam, senjata, minuman keras selain payung atau tongkat.

"Kita akan mengambil tindakan yang tegas sekiranya terdapat penonton yang melanggar arahan yang telah ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran trafik, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke stadium dan patuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas.

"Orang ramai diingatkan sama sekali untuk tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium kerana tindakan saman dan tunda akan diambil ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas, ujarnya.

Malaysia Hongkong

Pasukan kebangsaan akan bertemu Hong Kong dalam perlawanan persahabatan pukul 9:00 malam pada Rabu di SNBJ. Facebook FAM

Dalam pada itu, kawalan ini turut diperketat pada perlawanan akan datang dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 2022 dan Kelayakan AFC Asian China Cup 2023 yang dijadualkan bermula 8 Jun 2022 sehingga tamat perlawanan kumpulan H di SNBJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram