Thiago Alcantara pemain paling ‘overrated’ di Eropah — Legenda Liverpool


  • Podium
  • Rabu, 01 Jun 2022

Thiago telah membuat 39 penampilan serta dua gol dan lima bantuan jaringan gol bersama pasukan Liverpool.

IMPIAN Liverpool untuk meraih empat gelaran sekali gus musnah dalam tempoh seminggu apabila harapan mendakap trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berakhir dengan kekecewaan.

Setelah terpaksa berputih mata dalam liga domestik, mereka kemudiannya berlepas ke kota Paris, Perancis untuk menentang Real Madrid dalam perlawanan akhir UCL di Stadium Stade de France.

Ia menjadi kekecewaan sekali lagi bagi The Reds apabila tewas dengan pasukan gergasi Sepanyol yang mana keputusan berpihak kepada pasukan Real Madrid dan kejadian di ibu kota Perancis itu perlu dilupakan secepat mungkin.

Liverpool menamatkan musim ini dengan dua trofi, bukan empat seperti yang menjadi igauan mereka.

Sebenarnya, Liverpool tidak melakukan banyak kesilapan pada perlawanan akhir itu, jika bukan kerana persembahan menakjubkan daripada Thibaut Courtois, mereka dengan mudah boleh merangkul piala berprestij itu.

Liverppol 2

Liverpool menamatkan musim ini dengan dua trofi, bukan empat seperti yang menjadi igauan mereka selepas tewas kepada Real Madrid.

Bagaimanapun, legenda The Reds iaitu Dietmar Hamman berpendapat, beliau telah mengenal pasti punca Liverpool gagal menjuarai dua gelaran tersebut.

Hamman menyalahkan pemain yang beraksi di bahagian tengah termasuklah Thiago Alcantara secara khususnya.

“Pada pendapat saya, The Reds perlu memodenkan sedikit pasukan, terutamanya di bahagian tengah, saya tidak faham gembar-gembur tentang Thiago, bagi saya dia adalah salah seorang pemain yang paling ‘overrated’ dalam bola sepak Eropah," katanya kepada Sky Sport Germany.

Tambahnya lagi, Thiago merupakan pemain yang tidak mampu bertahan apabila pasukannya diserang oleh pihak lawan dan dia juga mendakwa perancang tengah The Reds itu tidak boleh mengubah corak permainan pasukan.

“Apabila keadaan berjalan lancar dan kamu memegang penguasaan bola, dia adalah pemain yang bagus, tetapi apabila mereka diserang, kamu tidak akan nampak kelibatnya, jika kamu memerlukan seseorang pemain yang boleh mengubah rentak, maka dia bukanlah pemain sesuai.

“Keita juga mengecewakan, Henderson adalah seorang yang rajin bekerja keras. Mereka memerlukan pemain yang boleh membuat perubahan dan memberi pasukan itu sesuatu penambahan," ujarnya lagi.

Perdebatan mengenai bahagian tengah The Reds mungkin menjadi salah satu topik paling hangat bagi penyokong Liverpool musim ini tetapi, untuk melabelkan Thiago sebagai seorang pemain ‘overrated’ nampaknya ia agak melampaui batas buat peminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram