Berentap dengan 'Shaolin Soccer', sudah nampak bayang kesebelasan terkuat Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 31 Mei 2022

Sebahagian pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, sebelum bertemu Hong Kong malam esok. — Facebook/FAM

SELEPAS membenam Brunei dengan kemenangan bergaya 4-0 pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Mei lalu, para penyokong tidak sabar untuk melihat 'taring' sebenar skuad Harimau Malaya yang bakal bertemu Hong Kong pada Rabu malam.

Pertemuan dengan Hong Kong dianggap sebagai ujian sebenar buat Harimau Malaya yang telah hampir tiga bulan menjalani latihan sejak Mac lalu, di bawah kendalian Kim Pan-gon yang juga bekas jurulatih skuad yang terkenal dengan jolokan Shaolin Soccer itu.

Anak-anak buah Pan-gon perlu sentiasa dalam keadaan bersedia kerana ketua jurulatih dari Korea Selatan itu akan memaklumkan senarai kesebelasan utama pada hari perlawanan.

Melihat kehadiran penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias bersama Pan-gon dalam sidang akhbar perlawanan pada Selasa, penyokong sudah boleh mengagak siapa yang bakal diturunkan kelak dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

netz hk 3

netz hk2

netz hk 1

Sebahagian komen penyokong terhadap jangkaan kesebelasan utama yang bakal diturunkan Pan-gon ketika bertemu Hong Kong.

Seorang penyokong, Safiq Syapeq merasakan Pan-gon bakal menurunkan 70 peratus pemain utama untuk berdepan Hong Kong yang memiliki rekod tanpa kalah dalam empat pertemuan dengan skuad kebangsaan sejak November 2012.

'Farizal di situ...bayangan KPG (Pan-gon) bakal turunkan hampir 70 peratus pemain utama," tulisnya di ruangan komen Facebook Harimau Malaya.

"Kesebelasan terbaik akan diturunkan," tulis Nazri A Bakar pula.

Seorang lagi penyokong, Hairul Zambri turut senada dengan komen, "Nampak Farizal...bayangan team utama yang diturunkan," tulisnya.

Sementara itu, seorang penyokong, Seekers King berkongsi infografik kesebelasan utama skuad Harimau Malaya yang dijangka akan diturunkan Pan-gon untuk bertemu skuad The Strength.

Menerusi infografik itu, dapat dilihat formasi 3-4-3 yang menggunakan tiga pemain di bek pertahanan, empat pemain tengah dan tiga lagi mengetuai jentera serangan.

Pertahanan kental Harimau Malaya, Khuzaimi Piee dijangka akan diberi mandat sekali lagi untuk turun dalam kesebelasan utama bersama Shahrul Saad dan Matthew Davies bagi mengawal benteng pertahanan negara.

Khuzaimi juga dilihat akan membentuk gandingan bersama pemain sayap lincah, Corbin Ong dan Faisal Halim di bahagian kiri skuad.

WhatsApp Image 2022-05-31 at 3.08.30 PM

Jangkaan formasi 3-4-3 yang dibarisi pemain utama Harimau Malaya bagi berdepan Hong Kong. — Facebook

Di sebelah kanan pula, gandingan Dian Cools dan Arif Aiman diharapkan penyokong lantaran suntikan dimensi baharu dalam corak serangan pasukan negara yang telah diterapkan Pan-gon.

Gandingan pemain tengah, Afiq Fazail bersama Azam Azih juga amat dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan kerana dianggap merupakan kombinasi paling mantap.

Akhir sekali tentunya penyerang pasukan negara, Muhammad Syafiq Ahmad yang terus menjadi sandaran pasukan selepas membantu Harimau Malaya mencatatkan kemenangan selesa ke atas pasukan Brunei sebelum ini.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia dan Hong Kong 'bertentang mata' adalah pada 10 Oktober 2017 dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 di Hong Kong yang menyaksikan Malaysia tumbang 0-2.

Selepas Hong Kong, Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram