Pernah gagal ternak keli, bekas jurufoto tak serik kini bangga terokai penternakan udang kara


Halim belajar menyusun strategi jika berdepan dengan sebarang masalah dalam penternakan udang kara air tawar. — Facebook

HALIM Khalid, sama sekali tidak menduga, dia terpaksa mengakhiri kerjayanya sebagai jurufoto di sebuah organisasi media terkemuka yang menutup operasinya secara mengejut beberapa tahun lalu.

Lebih menghampakan, pampasan skim perberhentian sukarela yang dijanjikan tidak diperoleh sehingga sekarang.

Bukan dia sahaja, malah ratusan bekas kakitangan menerima nasib serupa.

Tidak mahu terus merenung nasib, lelaki berusia 58 tahun ini mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya di Pendang, Kedah.

“Susah saya nak cakap sebenarnya, setahun juga hidup saya bersama anak dan isteri tak stabil. Namun, Alhamdulillah saya dikurniakan isteri, Murni Ismail yang memahami dan sanggup bersusah payah bersama.

“Ketika tiada duit, ditambah dengan dua anak yang masih sekolah membuatkan jiwa saya tak tenang, tetapi isterilah yang bantu. Dia ambil upah jahit baju demi kelangsungan hidup sebelum saya melakukan sesuatu yang sedikit sebanyak telah mengubah hidup saya kini,“ ceritanya penuh emosi.

Selepas mencongak itu dan ini, Halim berkata, dia bangkit dengan menceburi perusahaan ternakan benih udang kara air tawar.

Secara kebetulan, selain gemar bermain dengan kamera, dia juga minat dengan bidang akuakultur.

Berkat kesabaran dan ketekunan yang tidak berbelah bagi, bisnes yang diusahakan sejak tahun 2019 itu berjaya membuahkan hasil seperti yang diingini.

Beritahu Halim menerusi program Cerita Orang Kita berjudul Penternak Udang Kayangan, dia mengusahakan projek pembenihan udang premium tersebut dengan bermodalkan wang simpanan berjumlah RM10,000.

“Saya tertarik dengan udang kara selepas terbaca satu hantaran di Facebook. Sejak itu, saya mula belajar sendiri dan mencari baka untuk diternak. Masa itu, saya tidak tahu mana jantan, mana betina, tetapi memang seronok dan teruja apabila berjaya menternak sendiri.

“Sebab itu, saya nekad untuk usahakan projek pembenihan udang secara serius di tanah sendiri seluas lima hektar. Meskipun ketika awal pandemik permintaan terjejas, namun masih ada rezeki buat saya sekeluarga,“ katanya.

Untitled-design-2022-05-28T230217.007

Jangan mengalah

Ungkap Halim, ternakan udang kara air tawar sebenarnya masih trend baharu dalam dunia akuakultur.

Pun demikian, dia percaya berbekalkan ilmu, hubungan baik sesama penternak, selain rantaian pasaran yang stabil diyakini mampu mengekalkan momentum perniagaannya.

“Dalam dunia ternakan ini, kita jangan sombong dan buat musuh. Perlu ada rangkaian dengan penternak lain jika mahu berjaya. Lagi satu, sentiasa belajar tentang air dan habitat udang.

“Untuk mereka yang mahu berjinak-jinak dalam bidang ini, perkara paling penting adalah pastikan kualiti air sesuai dengan habitat udang kerana spesies tersebut memerlukan air bersih. Selain itu, wajib mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,“ kongsinya.

Pernah gagal dalam projek ternakan ikan keli pada tahun 2006 sehingga kerugian RM30,000, pengalaman buruk itu telah menjadi peringatan kepada bapa lima anak itu untuk menyusun strategi jika berdepan sebarang masalah.

“Dalam ternakan udang kara air tawar ini misalnya, kita kena lebih berwaspada kerana jika tersilap langkah, kita terpaksa menanggung rugi yang bukan sedikit.

“Sebab itu, saya bermula dari kecil-kecilan dan apabila dapat pulangan modal, saya tambah baik kelengkapan hingga mampu mempunyai lebih 20 kolam ternakan benih dan induk,“ ujarnya yang turut merancang mengembangkan lagi projeknya jika tiada aral melintang.

Sejajar dengan perkembangan semasa, Halim berkata, dia turut berjualan secara dalam talian menerusi laman Facebook, EIM Agro Farm.

Kepada penggemar udang kara yang mahu mendapatkan spesies Cherax redclaw quadricarinatus sebagai haiwan perhiasan, bekas jurufoto itu sedia membekalkannya kepada anda.

Dalam program berkenaan, Halim mengakhiri bicaranya dengan berpesan kepada mereka yang hilang pendapatan gara-gara diberhentikan kerja ataupun impak daripada wabak Covid-19.

“Jangan terus mengalah tetapi terus berusaha demi keluarga tercinta. Apa yang penting, ikhtiar dan berdoalah kepada ALLAH. Insya-ALLAH jika sudah tertulis, rezeki tidak pernah salah alamat,“ katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram