Pan-gon ‘gentleman’, nak menang bukan sebab Hong Kong buat silap


  • Podium
  • Selasa, 31 Mei 2022

Sebahagian daripada aksi pemain Harimau Malaya ketika menentang Brunei baru-baru ini. — Bernama

SELEPAS berjaya memulakan aksi persahabatan dengan cemerlang menentang Brunei, pasukan Harimau Malaya mahu meneruskan rentak terbaik itu ketika berhadapan Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, bagaimanapun beliau tidak mahu pasukannya memenangi perlawanan menentang anak buah Jorn Andersen disebabkan kesilapan pihak lawan semata-mata.

Sebaliknya, pengendali kelahiran Korea itu mahu melihat pasukannya memenangi perlawanan tersebut dengan cara lebih meyakinkan iaitu dengan mendominasi perlawanan tersebut sambil lebih banyak mengamalkan taktikal menyerang.

“Sudah tentu sebagai seorang jurulatih, pemain dan peminat mereka mahukan kemenangan untuk pasukan. Sama juga seperti kami di sini yang ingin mencari kemenangan pada perlawanan ini.

“Tetapi dalam bola sepak ada dua cara untuk memenangi perlawanan iaitu pasukan perlu bermain dengan cara proaktif iaitu menyerang dan mendominasi perlawanan. Ataupun mereka boleh menang dengan menunggu lawan buat kesilapan dan menghukum mereka.

284999989_709133443493228_3771683377415471602_n

Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon (tengah) sewaktu sesi latihan bersama pemain. — Facebook

“Bagi pasukan Malaysia, saya mahu mereka memenangi perlawanan dengan cara menyerang dan mendominasi perlawanan. Kita tidak mahu menang disebabkan kesilapan lawan.

“Jika mereka bermain dengan cara ini, saya percaya ia bakal banyak membantu pasukan sebagai persiapan menjelang kelayakan Piala Asia 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Pan-gon menyifatkan pertembungan menentang pasukan lamanya itu sangat dinanti memandangkan Hong Kong merupakan pasukan yang kini berada tahap yang sama seperti Turkmenistan.

Justeru, beliau mahu menggunakan perlawanan menentang Hong Kong itu sebagai medan untuk menambah baik lagi pasukan sebelum menentang pasukan Zamrud Hijau itu pada saingan kelayakan Piala Asia nanti.

“Kami sebenarnya memang tengah mencari pasukan yang sama tahap seperti Turkmenistan, sebagai persiapan sebelum menentang mereka di kelayakan Piala Asia dan saya rasa Hong Kong berada sama tahap seperti mereka.

“Jadi ia sesuatu perkara yang bagus untuk skuad kebangsaan supaya kita boleh lihat apa yang perlu diperbaiki dan kelemahan-kelemahan pasukan sebelum beraksi di saingan tersebut,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram