Selamba ubah suai flat jadi rumah teres, pemilik melopong struktur haram diroboh


  • Massa
  • Selasa, 31 Mei 2022

MPAJ merobohkan binaan tambahan dan struktur binaan yang dibina pemilik sebuah kediaman secara haram di Flat UTM . — Facebook

MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpaksa merobohkan binaan tambahan dan struktur binaan dibina pemilik kediaman di Blok 4, Flat UTM, AU3/1, Ampang, Kuala Lumpur kerana tidak mendapat kelulusan.

MPAJ menerusi kenyataannya memaklumkan, tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan mengikut Akta 133 dan Akta 757 bakal mendatangkan pelbagai risiko dan masalah kepada penduduk setempat.

"Isu keselamatan penduduk sekitar perlu diambil kira, tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya.

"Kesannya, MPAJ terpaksa merobohkan struktur tambahan haram yang nyata menggunakan ruang harta bersama yang bukan hak mutlak pemilik tapi adalah dikongsi secara bersama.

1792033

Struktur tambahan haram menggunakan ruang harta bersama dirobohkan oleh MPAJ. — Facebook

MPAJ merobohkan binaan tambahan dan struktur binaan yang dibina pemilik sebuah kediaman secara haram di Blok 4, Flat UTM, AU3/1, Ampang.

"Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli," kata MPAJ dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan sama, tindakan penguatkuasaan di Blok 4, Flat UTM, AU3/1 atas kesalahan membina struktur tambahan tanpa kebenaran MPAJ telah dilaksanakan bermula pada 25 Mei.

"Tindakan bersepadu ini melibatkan Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguat Kuasa MPAJ.

"Tindakan notis dan roboh serta-merta dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133) berikutan tambahan struktur baharu di bahagian tepi dan belakang yang tidak dibenarkan bagi bangunan kediaman bertingkat," kata kenyataan itu.

Sebarang penambahan struktur di luar petak pemilik adalah menjadi kesalahan dan bagi mendapatkan maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPAJ di talian 03-4285 7110. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram