Dakwa wujud manipulasi, calon mahu keputusan tidak rasmi pemilihan PKR diaudit semula


  • Politik
  • Selasa, 31 Mei 2022

Seorang ahli PKR mencelup jari ke dalam dakwat kekal sebelum membuang undi dalam pemilihan PKR baru-baru ini. — Bernama

KEPUTUSAN tidak rasmi pemilihan PKR harus diaudit kerana terdapat banyak aduan dan bantahan daripada calon yang mendakwa ia telah 'dimanipulasi.

Perkara itu ditegaskan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang berkata, sistem pengundian dalam talian juga telah membuktikan mekanisme itu lemah yang menimbulkan persoalan mengenai ketelusan.

"Bukan tidak boleh menerima kekalahan, tetapi ada persoalan mengenai kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti telah dikompromi dan boleh dimanipulasi oleh kumpulan tertentu," katanya.

Farhash yang juga bekas pembantu presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, undi yang dikira oleh jawatankuasa pemilihan parti diumumkan tanpa sebarang bentuk semak dan imbang.

"Proses (pengiraan undi) tidak mengambil kira kehadiran pihak ketiga atau wakil calon, oleh itu adalah logik untuk mempersoalkan sama ada terdapat sebarang manipulasi.

226259

Farhash (kiri) tewas dengan Amirudin Shari bagi jawatan Ketua Cabang Gombak dalam pemilihan PKR.

"Tiada sesiapa yang hadir dalam proses pengiraan undi untuk mengesahkan sama ada angka itu betul," tambahnya.

Farhash turut mempersoalkan kelewatan beberapa hari untuk mengumumkan keputusan tersebut.

"Pilihan raya umum yang melibatkan berjuta-juta pengundi dan pengiraan undi dilakukan secara fizikal pun boleh didapati dalam beberapa jam sahaja," katanya.

Sementara itu, Farhash berkata, beliau dan calon yang tidak berpuas hati hanya akan menerima keputusan pengundian sekiranya kebimbangan mereka ditangani.

"Saya harap perkara ini tidak berulang pada pilihan raya akan datang supaya sistem pemilihan parti benar-benar bebas daripada sebarang campur tangan.

"Jika kita melaungkan 'reformasi', maka kita harus mengamalkannya dalam parti kita sendiri," katanya.

Pada Ahad, Farhash menggesa audit forensik dilakukan oleh sebuah badan bebas mengenai keputusan pemilihan PKR.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah meraih 1,858 undi berbanding Farhash sebanyak 1,215 undi

Farhash berkata, keputusan itu "tidak masuk akal" kerana jumlah undi yang diperolehnya tidak sepadan dengan jumlah pengundi yang hadir secara fizikal untuk membuang undi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram