SUAMI kepada guru yang terbunuh dalam kejadian tembakan di sekolah Texas, Amerika Syarikat baru-baru ini ini rebah dan meninggal dunia pada Khamis ketika dia sedang bersiap untuk pengebumian isterinya.
Joe Garcia, berkahwin dengan kekasih yang dikenali dari sekolah menengahnya, Irma Garcia dan menjalani kehidupan bersama selama 24 tahun, sebelum wanita itu ditembak mati pada Selasa di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas, Amerika Syarikat.
“Saya pun tak tahu nak rasa macam mana. Saya tidak percaya. Saya tidak mahu mempercayainya bahawa Joe Garcia telah meninggal dunia,” kata John Martinez, anak saudara Irma Garcia seperti dilaporkan NBC News.
Martinez berkata, dia diberitahu bahawa Joe Garcia bersiap sambil membawa bunga untuk diletakkan di pusara isterinya.
"Apabila dia pulang ke rumah, dia sempat duduk di atas kerusi bersama keluarga tapi tiba-tiba terjatuh.
"Mereka cuba lakukan pelbagai cara untuk menyelamatkannya namun tidak berhasil. Ambulans datang dan mereka juga tidak dapat menyelamatkannya,” ujarnya.
Martinez berkata, dia mengetahui berita itu daripada adik lelakinya.
Selasa lepas, Irma Garcia dan rakannya yang juga seorang guru, Eva Mireles terbunuh bersama 19 kanak-kanak lain dalam tragedi di sekolah tersebut.
Anak lelaki mendiang, Christian Garcia berkata, seorang rakannya yang berada di tempat kejadian berkata, dia melihat ibunya melindungi pelajar semasa kejadian tembak itu berlaku.
Dalam pada itu, doktor menyifatkan kejadian menimpa Joe Garcia sebagai contoh 'sindrom patah hati', dikenali juga sebagai takotsubo cardiomyopathy.
Ia biasanya berlaku sebagai tindak balas kepada tekanan melampau seperti kematian mengejut pasangan.
Tidak seperti orang yang mengalami serangan jantung biasa yang lazimnya disebabkan arteri tersumbat, orang yang mengalami sindrom patah hati mengeluarkan hormon tekanan yang menghalang jantung mereka daripada berfungsi dengan betul.
"Ia adalah kes klasik sindrom patah hati daripada apa yang telah diterangkan," kata Dr Deepak Bhatt, pakar kardiologi di Brigham and Women's Hospital di Boston ketika mengulas kes tersebut.
Bhatt berkata, adalah mustahil untuk mengetahui dengan pasti sama ada Joe Garcia mengalami serangan jantung biasa atau sindrom patah hati tanpa imbasan sinar-x atau bedah siasat.
"Serangan jantung boleh juga dicetuskan daripada tekanan emosi melampau seperti apa yang berlaku kepada Garcia," kata Bhatt. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram