DRAMA perbalahan antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memasuki episod baharu.
Sebelum ini, Tunku Ismail membidas Muhammad Sanusi yang tidak memberikan sebarang sumbangan kepada bola sepak tanah air sehingga menyebabkan dua pemain legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali 'angkat kaki' ke Sabah FC musim ini.
Membalas kenyataan berkenaan, Sanusi berkata, penghijrahan dua pemain itu suatu lumrah dalam dunia bola sepak apabila Sabah mampu untuk menawarkan gaji yang lebih baik buat Baddrol dan Rizal.
Jelasnya, nilai gaji yang dibayar kepada Rizal dan Baddrol sebelum ini boleh digunakan untuk membayar lima orang pemain baharu yang tidak kurang hebatnya.
Tambah Sanusi, dalam keadaan pasukan yang baru sahaja berhempas pula menyelesaikan hutang piutang lama berjumlah lebih RM20 juta, faktor gaji pemain dan pembiayaan pasukan bola sudah tentu menjadi perhatian utama pada musim baharu.
"Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan kita, gara-gara setting orang kaya di pasukan lain yang menggiurkan semua pemain, sehingga kerajaan terpaksa campur tangan memberikan kawasan balak dan kuari untuk membiayai bola sepak," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada Selasa.
Tambahnya, Kedah berjaya mengimbangi keperluan membantu rakyat yang rata-rata masih miskin, di samping membantu pasukan bola sepak yang membawa nama negeri itu di kancah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Piala Malaysia.
Beliau berkata, Kedah juga bukan pasukan 'super' kaya yang harus tunduk kepada gaya gaji elit yang ditetapkan oleh pihak lain yang berkemampuan, bagi membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam 'sangkar' mereka.
Katanya, penetapan gaji 'super' elit menyebabkan banyak pasukan yang bersaing menghadapi masalah kewangan, yang sekali gus mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain bola sepak.
"Boleh lihat apa yang sedang terjadi dengan pasukan Seladang (Perak), yang berjiran dengan Kedah.
"Banyak lagi pasukan lain juga sedang bergelut dengan isu kewangan. Hal inilah yang meruntuhkan industri bola sepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?
"Sabah berkemampuan menawarkan pendapatan dan pengalaman yang lebih kepada mereka selain memilih berada di bawah kendalian jurulatih yang mereka gemari," katanya.
Dalam masa sama, Sanusi turut mempersoalkan hal pendrive yang pernah kecoh pada tahun 2016 lalu.
Ketika itu, TMJ mendakwa ada ketirisan berlaku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan baginda turut menyatakan segala bukti kesalahan tersebut wujud di dalam 'pendrive' yang diperoleh menerusi orang-orang atasan yang rapat bersama pemilik JDT.
"Kami tahu apa yang terbaik untuk kami, ikut kemampuan kami. Kamu jaga pasukan kamu, kami jaga pasukan kami, kita berentap saja di padang dengan pengadil yang adil dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pulak sudahlah
"Satu lagi nak tanya... pendrive lama tu hang pi taroh tang mana?
"Tulis atas gazebo cucoq kodok saja... McD (McDonald) saya tak makan," sindirnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram