KENYATAAN balas Pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) terhadap dakwaan kewujudan "tokong" dalam arena bola sepak oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghangatkan lagi suasana bola sepak domestik.
Malah, kenyataan dari kedua pihak berkenaan juga mencetuskan perbalahan di medium media sosial terutamanya dalam kalangan penyokong kelab mereka iaitu JDT dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Namun, walaupun majoriti penyokong seakan-akan 'enjoy' dengan 'perbalahan' dua individu penting bola sepak itu, tidak kurang juga ada pihak yang berharap agar keduanya berdamai dan memberi fokus terhadap pembangunan pasukan kebangsaan.
Ciapan TMJ pada Isnin berhubung kenyataan Muhammad Sanusi.
Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli turut berharap agar isu "tokong" itu tidak usah diperbesarkan kerana baginya ia hanya mencetuskan spekulasi terutama dalam kalangan peminat bola sepak.
Menurutnya, daripada kedua-dua belah pihak berbalah mengenai isu sebegitu, adalah lebih elok jika dua individu berkenaan memfokuskan untuk memperbaiki pembangunan bola sepak di negara.
"Bagi saya tidak perlu nak perpanjangkan lagi isu. Sebenarnya walaupun benda itu tidak secara directly menyampaikan siapa yang dimaksudkan tetapi ia menyebabkan ramai peminat bola buat spekulasi dan sangkaan.
"Bagi saya jika ada betul berlaku yang dinyatakan itu, kita harap hentikanlah. Kita lupakan semua, kita sama-sama tidak kisah pasukan mana pun samaada yang buat kenyataan ataupun membalas kenyataan itu.
"Kita sama-sama ke hadapan, tidak perlu lah sampai nak kemukakan bukti dan sebagainya. Tidak usah ada campur tangan politik. Sebab perkara bukan bagus nanti boleh memalukan kedua-dua belah pihak. Kita pandang ke depan lah.
"Perkara-perkara negatif seperti itu, saya pun tidak berapa setuju kalau ia berlaku. Katakan dia hanya menuduh, kena hentikanlah. Pandang ke depan kerana kita tahu sama ada JDT atau Kedah masing-masing ada tanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak," katanya kepada Majoriti.
Persiapan Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023. — Facebook FAM
Tambahnya, tanggungjawab memajukan bola sepak Malaysia bukan hanya pada skuad Harimau Selatan dan Sang Kenari tetapi juga harus digalas semua kelab lain yang berada dalam saingan Liga Super serta Liga Premier.
"Semua pasukan sepatutnya fokus majukan pasukan masing-masing dengan kemampuan yang ada. Kadang-kadang nak buat sesuatu kena ukur di baju sendiri, jangan ada mengambil orang lain sebagai satu benchmark kerana kadang-kadang kita tidak boleh capai benchmark itu.
"Kita mengambil satu-satu pasukan itu sebagai contoh yang positif. Mungkin kita boleh fokus kepada Piala Asia. Kita nak layak Piala Asia 2023, kalau boleh semua pemain terbaik yang ada tidak kiralah dari pasukan mana perlu menunjukkan prestasi sebenar untuk membawa nama Malaysia dan bukan nama kelab masing-masing.
"Saya nak menyeru, mungkin dua-dua belah pihak mungkin tidak mahu dan mungkin masih mahu meneruskan perang dingin. Tetapi bagi saya tidak perlu perbesarkan isu, hentikan. Hanya fokus benda lain, jangan ada kecenderungan untuk memalukan siapapun," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram