5 destinasi pinjaman buat Syafiq Ahmad elak diperam JDT


  • Podium
  • Isnin, 23 Mei 2022

Syafiq Ahmad sah bakal kembali menyarung jersi JDT setelah beraksi beberapa bulan sebelum itu bersama KDA FC.

PENGUMUMAN Johor Darul Takzim (JDT) yang memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad untuk kembali semula menyertai skuad Harimau Selatan selepas dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC benar-benar mengejutkan peminat bola sepak tempatan.

Mana tidaknya, baru lima bulan bersama KDA FC, JDT mengambil tindakan drastik untuk memanggil Syafiq Ahmad meskipun sebelum ini kedua-dua kelab itu bersetuju meminjamkan pemain berkenaan selama setahun.

Punca sebenar JDT memanggil pulang penyerang berbakat itu masih misteri walaupun ada yang mengaitkan dengan kenyataan 'celupar' Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor berhubung isu 'tokong'.

Rentetan pengumuman itu, nama Syafiq Ahmad terus sahaja menjadi bualan peminat bola sepak tempatan kerana kerisauan mereka adalah minit permainan pemain itu akan berkurang jika berpindah semula ke JDT.

Ini kerana Syafiq Ahmad perlu bersaing untuk merebut tempat kesebelasan utama yang didominasi oleh beberapa nama besar seperti Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Safawi Rasid.

Sehubungan dengan itu, terdapat juga beberapa penyokong kelab lain yang mencadangkan penyerang berbisa berkenaan untuk berhijrah ke pasukan kesayangan mereka.

Berikut merupakan lima kelab yang mungkin boleh menggunakan khidmat Syafiq Ahmad untuk memperkuatkan jentera serangan:

1) Penang FC

Dengan kedudukan Penang FC yang kini berada di tangga tercorot Liga Super 2022, ia sememangnya alasan kukuh untuk meminjam Syafiq Ahmad bagi membantu pasukan memperoleh tiga mata penuh pada setiap perlawanan.

Malah, disebabkan Syafiq Ahmad lahir di Sungai Ara, Pulau Pinang, penyokong Harimau Kumbang menyeru penyerang berkenaan untuk menabur bakti di tempat kelahirannya dengan bermain bersama Penang FC.

hilal

Hilal meyumbang empat gol bersama Penang FC.

Untuk rekod, selepas mengharungi lapan perlawanan, Penang FC hanya mengumpul tiga mata dan gagal mencatatkan sebarang kemenangan.

Penang FC juga hanya menjaringkan sembilan gol dengan empat daripadanya disumbangkan oleh Hilal El-Helwe dan kemasukan Syafiq Ahmad berpotensi menajamkan jentera serangan Harimau Kumbang.

Syafiq cemerlang bersama Kedah dengan menyumbangkan dua gol dan empat bantuan gol sepanjang digandingkan bersama penyerang Kedah, Ronald Ngah Wanja.

2) Melaka United

Pasukan Sang Kancil juga antara destinasi tepat untuk pemain berumur 26 tahun itu mendapat nafas baharu jika tidak kembali bersama JDT dan boleh menjadi penyerang utama pasukan berkenaan.

ifedayo

Ifedayo sebelum ini berjaya menyumbangkan 25 gol sepanjang musim lepas bersama Gergasi Merah.

Melaka United yang kini berada di kedudukan kesembilan Liga Super 2022 dikatakan kurang menyerlah di bahagian serangan meskipun memiliki penyerang import, Ifedayo Olusegun yang sebelum ini cemerlang bersama Selangor FC.

Ifedayo muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2021 dengan 25 gol tetapi gagal mengulangi pencapaian itu bersama kelab baharunya dan hanya menyumbang empat gol daripada keseluruhan enam gol Melaka United dalam saingan liga.

Mungkin dengan kemasukan Syafiq Ahmad sebagai penyerang bantuan, bebanan Ifedayo sebagai penyerang akan berkurangan dan pergerakannya lebih bebas untuk mencari ruang dan peluang melakar gol.

3) KL City FC

Selain JDT dan KDA FC, skuad Kuala Lumpur City (KL City FC) turut menjadi salah satu daripada kelab Malaysia yang berjaya ke pentas Asia apabila layak menyertai kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022.

Di sebalik kegembiraan KL City FC berjaya menempah slot, terdapat perkara yang dibimbangi skuad itu iaitu kekurangan penyerang berbisa untuk bermain di peringkat antarabangsa seperti AFC 2022.

kl city fc 23

KL City FC menjadi Piala Malaysia selepas menewaskan JDT 2-0 pada 2021.

Malah berdasarkan statistik, kebanyakkan gol KL City disumbangkan daripada pemain posisi lain selain penyerang.

Penjaring terbanyak kelab itu setakat ini dipegang oleh Paulo Josue yang banyak bermain di posisi sayap kiri.

Jika Syafiq Ahmad memilih KL City, dia masih berpeluang untuk beraksi di pentas AFC dan boleh bertindak sebagai penyerang tunggal berbanding penyerang bantuan seperti di Kedah.

4) Sri Pahang

Musim ini, pasukan Sri Pahang FC berbelanja besar membawa masuk beberapa pemain import termasuk penyerang kelahiran Jordan, Mahmoud Za'tara yang dilihat menampilkan prestasi kurang memuaskan.

Setakat ini, Za'tara sekadar menjaringkan satu gol sahaja ketika bertemu dengan Melaka United yang menyaksikan Sri Pahang kalah 1-2 dan gol yang dijaringkannya hanya menerusi sepakan penalti.

sri pahang

Za'tara antara pemain dikecam peminat ketika ini. — Sri Pahang FC

Penyokong Tok Gajah mendesak pengurusan Sri Pahang mencari pengganti Za'tara dan Syafiq Ahmad dilihat mempunyai kualiti setaraf dengan pemain import, sekali gus calon sesuai untuk dipinjamkan ke kelab Pantai Timur itu pada jendela perpindahan kedua pemain musim 2022.

5) Terengganu FC

Skuad Penyu pada Liga Super 2022 kali ini dilihat menampilkan pretasi yang kurang memberangsangkan apabila hanya menduduki tangga kesebelas liga selepas empat perlawanan dengan mengumpul enam mata.

Jika Syafiq Ahmad menyertai TFC, pemain berkenaan akan menjadi duo terbaik digandingkan bersama pemain sayap, Faisal Halim selaku penyerang tempatan dalam skuad Sang Penyu dan mungkin boleh memperbaiki kedudukan pasukan itu dalam kancah Liga Super 2022.

Dua gandingan import, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche kurang menjadi berbanding aksi mereka bersama Kedah pada musim lepas dengan masing-masing hanya menyumbang dua dan satu gol sahaja setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram