Saya tahu, ada pihak beri bonus kalau dapat kalahkan KDA FC — Sanusi


  • Podium
  • Ahad, 22 Mei 2022

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dedahkan kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak hanya akan menjejaskan mutu bola sepak negara selain menyebabkan persaingan tidak sihat.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor enggan mendedahkan siapa yang dimaksudkan sebagai ‘tokong’ dalam bola sepak, sebaliknya menegaskan semua pihak maklum mengenai panggilan tersebut.

Secara berkias, beliau berkata, hanya individu yang makan cili akan terasa pedasnya, tanpa perlu meminta dirinya mendedahkan siapa yang dimaksudkannya itu.

“Siapa yang makan cili, dia terasa pedaslah. Dia yang perasan lebih, kenapa? Saya maksudkan 'tokong' itu jangan terlalu 'Supreme', semua orang kena tanya dia, mana boleh macam itu. Bola sepak adalah permainan untuk semua. Dia arah sana, arah sini, suruh orang itu buat begini, suruh macam-macam.

“Dia pusing pasukan bola lain bagi bonus kalau boleh menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu. Dia ingat orang tak tahu. Jangan bagi saya cerita semua,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, tetap dengan pendiriannya berhubung 'tokong' dalam bola sepak dan enggan ‘melayan’ serangan balas yang dilemparkan terhadapnya.

“Apa yang MB Johor atau Exco sukan pertahankan, itu hak mereka. Saya tak mahu layan. Saya tak ada sangkut pun dengan Johor. Saya tak masukkan itu dengan Johor pun. Yang dia perasan pasal apa?, soalnya.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi dedahkan kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak hanya akan menjejaskan mutu bola sepak negara selain menyebabkan persaingan tidak sihat.

Beliau mendakwa, kewujudan 'tokong' ini turut memberi kesan kepada mana-mana pasukan untuk bermain secara adil dan bersih ketika beraksi.

Menurutnya, bola sepak adalah sukan untuk semua, bukannya dikawal oleh individu sehingga menyebabkan adanya situasi yang memerlukan persetujuan daripada 'tokong' terbabit. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sanusi, tokong, bola sepak, KDA FC, MB Kedah, MB Johor