'Dia order sana sini, bagi bonus kalahkan Kedah,' TMJ cabar Sanusi sebut nama, cerita semua


  • Podium
  • Isnin, 23 Mei 2022

TMJ meminta Sanusi untuk mendedahkan 'tokong' yang dimaksudkan.

PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mendedahkan individu yang dikatakan menjadi ‘tokong’ dalam bola sepak negara.

Muhammad Sanusi dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak hanya akan menjejaskan mutu bola sepak negara selain menyebabkan persaingan tidak sihat.

Beliau mendakwa, kewujudan 'tokong' ini turut memberi kesan kepada mana-mana pasukan untuk bermain secara adil dan bersih ketika beraksi.

Menurutnya, bola sepak adalah sukan untuk semua, bukannya dikawal oleh individu sehingga menyebabkan adanya situasi yang memerlukan persetujuan daripada 'tokong' terbabit.

"Dia arah sana, arah sini, suruh orang itu buat begini, suruh macam-macam.

“Dia pusing pasukan bola lain bagi bonus kalau boleh menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu. Dia ingat orang tak tahu. Jangan bagi saya cerita semua,” katanya.

TMJ Twitter Tokong

Ciapan TMJ pada Isnin berhubung kenyataan Muhammad Sanusi.

Susulan itu, Tunku Ismail dalam satu ciapan di Twitter mencabar Muhammad Sanusi untuk mendedahkan 'tokong' yang dimaksudkan itu.

"Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala galanya. Ini cakap main sembuh (sebut) badut McDonald pun boleh. Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical Politician," ujar baginda menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Baginda menulis ciapan itu bagi membalas satu lagi ciapan yang dibangkitkan oleh Wanichi Kudo yang berkongsikan kenyataan Sanusi berhubung dakwaan wujudnya individu tertentu yang dipercayai 'mengawal' kancah bola sepak negara.

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi enggan mendedahkan siapa yang dimaksudkan sebagai ‘tokong’ dalam bola sepak, sebaliknya menegaskan semua pihak maklum mengenai panggilan tersebut.

Secara berkias, beliau berkata, hanya individu yang makan cili akan terasa pedasnya, tanpa perlu meminta dirinya mendedahkan siapa yang dimaksudkannya itu.

“Siapa yang makan cili, dia terasa pedaslah. Dia yang perasan lebih, kenapa? Saya maksudkan 'tokong' itu jangan terlalu 'Supreme', semua orang kena tanya dia, mana boleh macam itu. Bola sepak adalah permainan untuk semua," ujarnya.

Sanusi Tokong

Kenyataan Muhammad Sanusi berhubung isu 'tokong'.

Isu 'tokong' berbangkit apabila Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan yang mendakwa wujud budaya menyembah tokong dalam bola sepak tempatan susulan isu masa tambahan yang melibatkan perlawanan antara JDT dan Negeri Sembilan FC baru-baru ini.

Susulan kenyataan yang disifatkan celupar itu, JDT memanggil pulang pemain pinjamannya ke Kedah, Syafiq Ahmad sehari selepas isu tokong itu berbangkit.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga memberi respons isu tersebut dengan meminta Muhammad Sanusi agar tidak perlu menyebarkan fitnah untuk tegangkan keadaan atau menutup kelemahan sendiri.

Malah Onn Hafiz mencabar Muhammad Sanusi untuk mendedahkan 'tokong' yang dimaksudkan.

Sebaliknya, Muhammad Sanusi enggan mendedahkan individu berkenaan dan menegaskan semua pihak maklum mengenai panggilan tersebut (tokong).

— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram