Salah tersalah sangka, ingat sudah menang liga


  • Podium
  • Isnin, 23 Mei 2022

Salah diturunkan Klopp pada separuh masa kedua dan menjaringkan gol ketika perlawanan hanya berbaki enam minit. — Getty Images

BINTANG kelahiran Mesir, Mohamed Salah sukar untuk percaya apabila dia turun dari bangku simpanan untuk membantu Liverpool bangkit daripada ketinggalan pada perlawanan terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield.

Dalam perlawanan itu, Liverpool menang 3-1 menentang Wolves tetapi gagal untuk bergelar juara selepas pendahulu liga, Manchester City juga mencatatkan kemenangan, sekali gus bergelar juara dengan dipisahkan satu mata sahaja.

Liverpool sudah menggenggam Piala FA dan Piala Liga, dan bakal beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 29 Mei ini.

Dalam perlawanan menentang Wolves, Salah dibawa masuk Jurgen Klopp pada minit ke-57 sebelum mencetak gol pendahuluan ketika perlawanan hanya berbaki enam minit dan kedudukan terikat 1-1.

Salah menyangka jaringannya pada minit ke-84 mungkin membawa trofi ke Anfield, namun kemenangan Manchester City 3-2 ke atas Aston Villa memusnahkan harapan Liverpool untuk meneruskan misi meraih empat kejuaraan semusim.

Ketika Salah menjaringkan gol tersebut, Manchester City terlebih dahulu bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum Ilkay Gundogan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81.

Bekas pemain Liverpool, Stephen Warnock berkata, Salah merupakan seorang pemain yang suka dipuji secara individu selain gemar menjadi pemain utama.

"Tetapi anda boleh lihat dengan jelas bahawa Liverpool memberi makna kepadanya.

"Apabila Salah menjaringkan gol, dia berlari seolah-olah menjaringkan gol kemenangan untuk menjulang gelaran juara liga. Itulah perasaan yang kami dapat," katanya.

Namun, katanya, Manchester City pula menjaringkan tiga gol dalam lima minit pada 10 minit terakhir perlawanan untuk mengubah situasi perebutan juara Liga Perdana Inggeris.

"Sekiranya mereka melakukan apa-apa selain daripada mahu mengejar kemenangan, jaringan Salah sebenarnya sudah cukup untuk melakar kejuaraan Liverpool," katanya.

Sementara itu, Klopp turut mengulas mengenai usaha pasukannya untuk menang dalam perlawanan tersebut.

Katanya, Liverpool bermain pada musim yang 'gila', yang mana pihak lawan menjaringkan gol awal dan memaksa pasukannya bangkit mencatat kemenangan.

"Musim sudah berakhir, kami tidak dapat menjadi juara dengan dipisahkan satu mata sahaja. Apa yang orang lain katakan saya tidak peduli.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan ini, kelab ini, mereka benar-benar luar biasa. Ini bukan penamat, ini adalah pencapaian musim ini," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram