Mane tinggalkan Liverpool, ikut jejak Salah sertai kelab gergasi Eropah


  • Podium
  • Selasa, 10 Mei 2022

Mane dan Salah dilaporkan bakal meninggalkan Liverpool sebaik kontrak masing-masing tamat penghujung musim ini. — Agensi

SADIO Mane dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich mengenai perpindahan kekal yang akan menyaksikannya meninggalkan Liverpool pada musim panas ini.

Penyerang The Reds itu masih memiliki kontrak di Anfield sehingga musim panas 2023 selepas berada di Anfield selama tujuh tahun. Sejak tiba pada 2016, pemain antarabangsa Senegal itu telah menjaringkan 117 gol dalam 264 penampilan.

Walaupun mempunyai lebih kurang setahun lagi kontrak di Anfield, terdapat khabar angin Mane akan meninggalkan Liverpool bersama Mohamed Salah, yang kontraknya juga tamat pada musim panas ini.

Menurut wartawan Sky Sports, Florian Plettenberg, Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic telah mengadakan perbincangan dengan ejen Mane mengenai kemungkinan perpindahan itu.

Laporan itu menyatakan bahawa masih belum ada sebarang rundingan antara Liverpool dan Bayern mengenai perjanjian untuk Mane. Ia juga telah mendakwa bahawa perbincangan antara The Reds dan Mane berhubung kemungkinan lanjutan kontrak juga adalah "sukar".

Setakat musim ini, Mane telah menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan. Dia turut meletakkan nama selaku penjaring pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Villarreal, yang membantu Liverpool mara ke final musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram