Semua nak Liverpool juara — Guardiola


  • Podium
  • Isnin, 09 Mei 2022

Aksi Guardiola ketika pasukan kendaliannya menentang Newcastle pada Ahad. — Reuters

SELURUH dunia menyokong Liverpool dalam usaha mereka memburu empat gelaran musim ini, kata pengurus Manchester City, Pep Guardiola selepas pasukannya mendahului tiga mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 5-0 ke atas Newcastle United pada Ahad.

Kemenangan itu, ditambah dengan keputusan seri 1-1 antara Liverpool dan Tottenham Hotspur pada Sabtu, menyaksikan anak buah Guardiola hanya memerlukan tujuh mata daripada tiga perlawanan terakhir mereka bagi memuktamadkan kejuaraan keempat dalam tempoh lima tahun.

Liverpool masih dalam landasan untuk memenangi empat kejuaraan musim ini, iaitu EPL, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga dalam satu musim, dan Guardiola mendakwa bahawa semua pihak menentang usaha City untuk menggagalkan perkara itu.

"Semua pihak di negara ini menyokong Liverpool, media dan semua orang. Sudah tentu, kerana Liverpool mempunyai sejarah yang luar biasa dalam pertandingan Eropah dan bukan dalam EPL, kerana mereka telah memenangi satu kejuaraan dalam tempoh 30 tahun, tetapi ia tidak menjadi masalah sama sekali.

"Liverpool, di samping (Manchester) United, ia adalah pasukan yang paling terkenal, dengan apa yang mereka lakukan dalam sejarah dari segi gelaran, legasi, sejarah, drama dan banyak perkara.

"Tetapi kami, untuk 10, 11, 12 tahun yang lalu, sedang ke arah yang sama. Saya tahu kami kadang-kadang tidak selesa, tetapi saya tidak kisah.

"Orang ramai mahu Liverpool menang lebih banyak daripada kami, ia bukan satu isu. Ia perkara biasa. Mungkin mereka mempunyai lebih ramai penyokong di seluruh dunia dan di England, mungkin lebih menyokong Liverpool daripada kami," kata Guardiola.

City akan berdepan Wolves pada Rabu dan Guardiola berdepan dengan krisis kecederaan beberapa pemain pertahanannya menjelang perlawanan itu.

Kyle Walker dan John Stones kedua-duanya disisihkan daripada perlawanan menentang Newcastle dan tidak dijangka bermain lagi musim ini. Sementara itu, Ruben Dias dikeluarkan pada separuh masa kerana masalah otot dan juga bakal terlepas baki tiga perlawanan.

Guardiola kini terpaksa bergantung kepada Aymeric Laporte, Oleksandr Zinchenko, Joao Cancelo dan Nathan Ake, yang mengalami masalah buku lali, untuk tiga perlawanan terakhir menentang Wolves, West Ham United dan Aston Villa.

"Kami mempunyai 13.5 pemain kerana Nathan masih belum berada dalam keadaan sempurna. Ruben, Kyle dan John terpaksa disisihkan untuk baki musim ini. Dalam situasi ini ia tidak menjadi masalah. Rodri dan Fernandinho boleh bermain di posisi itu dan kami mempunyai pemain akademi. Semua orang perlu melakukan tugas tambahan," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram