Lepas setahun, Klopp bongkar cerita kenapa tak halang Alisson skor gol dramatik


  • Podium
  • Isnin, 16 Mei 2022

Klopp membongkar cerita mengapa beliau tidak menghalang Alisson naik ke atas sebelum mencetak gol ikonik Liverpool semasa berdepan West Brom musim lepas. — Agensi

SEMUA peminat fanatik Liverpool masih segar dengan kejayaan pasukan kesayangan mereka mendakap trofi Piala FA sebaik menjinakkan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley pada Sabtu.

Ia memang kejayaan yang cukup bermakna buat anak-anak buah Klopp terutamanya dalam landasan terbaik mendapat trofi Liga Juara-Juara ketujuh dalam sejarah sebaik melangkah ke pentas final musim ini.

Tapi masih ingatkah anda pada tarikh yang sama hari ini setahun sudah, mengenai gol dramatik yang berjaya dicetak oleh penjaga gol Liverpool, Alisson Becker ketika menewaskan West Bromwich Albion 2-1 pada saat-saat akhir masa kecederaan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas?

Kini selepas setahun, Klopp akhirnya membongkar cerita mengapa dia tidak menghalang penjaga gol itu daripada turut naik ke atas membantu serangan sebelum menanduk masuk gol yang benar-benar istimewa buat The Reds.

Ketika itu, hanya kemenangan mampu menjamin Liverpool kekal berada dalam kelompok empat teratas liga, sekali gus layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Aksi berdepan West Brom di Hawthorns adalah perlawanan liga ketiga terakhir Liverpool musim lepas, dan berlaku hanya beberapa hari selepas kemenangan 4-2 ke atas Manchester United di Old Trafford.

Aksi tidak bermula dengan baik untuk Liverpool selaku pelawat. Robson-Kanu meletakkan West Brom di depan, mujurlah Mohamed Salah menyamakan kedudukan.

Pada penghujung perlawanan, Alisson Becker kemudiannya melambai ke bangku simpanan untuk mendapatkan keizinan serta arahan daripada Klopp sama perlu naik atau tidak. Klopp tidak berkata apa-apa, tetapi jurulatih penjaga gol, John Achterberg memberitahu pemain Brazil itu untuk melakukannya.

Segala-galanya menjadi sejarah selepas itu. Ia memang gol yang cukup istimewa dalam aksi tanpa penyokong gara-gara pandemik Covid-19, selain dapat melihat air mata Alisson dan Thiago Alcantara.

Hanya beberapa bulan sebelum itu, Alisson telah kehilangan bapanya secara tragis di Brazil. Emosi tentang gol itu cukup bermakna buatnya.

Dengan menjaringkan gol kemenangan, Alisson bukan sahaja mengekalkan harapan Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara untuk musim berikutnya, tetapi dia juga mencipta beberapa rekod yang mengagumkan. Dia adalah penjaga gol pertama dalam sejarah Liverpool yang menjaringkan gol kompetitif, dan hanya yang keenam dalam sejarah EPL sepanjang masa untuk mencapai kejayaan itu.

Klopp tidak menyembunyikan kegembiraan dan kejutannya selepas jaringan Alisson. Pengurus Jerman itu terkenal dengan kejujurannya dalam temu bual, dan boleh dikatakan dia benar-benar teruja dengan gol Alisson.

alisson

Tandukan dramatik Alisson pada penghujung masa kecederaan ketika berdepan West Brom musim lepas — Agensi

"Sejujurnya, saya tidak tahu bila Alisson naik ke atas kerana hanya memerhatikan sepakan penjuru ketika itu.

"Tetapi, saya tidak menjerit lalu mengarahkannya untuk kembali semula ke bawah, sebaliknya hanya mendiamkan diri.

"Saya hanya membiarkannya berlari dan tiada sesiapa pun mahu penjaga gol naik ke atas pada saat-saat akhir perlawanan apabila anda memang perlu menang.

"Kami hanya mampu ketawa melihat gol itu. Kami menyaksikannya sebanyak 10 kali dalam bilik persalinan, ia memang gol yang benar-benar luar biasa.

"Jika seseorang seperti Olivier Giroud menjaringkan gol ini, semua orang berkata ia adalah gol bertaraf dunia.

"Jadi apabila Alisson melakukannya, anda perlu mengatakan perkara yang sama. Dia seorang yang hebat, hebat dan dia lucu, bijak, bertimbang rasa, bersungguh-sungguh dalam setiap perkara, dia memang seorang lelaki yang hebat.

"Dengan apa yang dilalui Alisson, ia memang benar-benar detik istimewa, saya sangat gembira untuknya," jelas Klopp.

Jika tidak kerana jaringan ikonik Alisson, mungkin Liverpool cuma sekadar mampu bermimpi indah untuk mara ke final Liga Juara-Juara musim ini apabila dijadualkan berdepan Real Madrid di Stade de France, Paris, Perancis pada 29 Mei depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram