Klopp dedah senjata rahsia tewaskan Chelsea


  • Podium
  • Jumaat, 13 Mei 2022

Aksi pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk mengekang asakan jentera serangan Chelsea pada aksi final Piala Liga, Februari lalu.  — Agensi

BIARPUN resah beraksi tanpa kelibat tonggak tengah, Fabinho pada aksi final Piala FA berdepan Chelsea FA di Wembley, London, England pada Sabtu, namun pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan sudah merencana percaturan tersendiri bagi mengharungi aksi final berkenaan.

Menurut Klopp, pihaknya sudah pun mengenal pasti pemain yang dilihat bersesuaian bagi menggalas tugas menggantikan Fabinho pada aksi itu nanti

“Kita bakal beraksi tanpa Fabinho kali ini. Memang ia satu ‘kehilangan,’ tetapi kita sudah menyediakan perancangan lain dalam usaha memantapkan jentera tengah The Reds.

“Memang sukar untuk beraksi tanpa Fabinho, tetapi kita masih ada beberapa pemain yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkannya itu.

“Apa pun, diharapkan agar pemain yang diturunkan dapat memberikan aksi terbaik bagi mengekang asakan-asakan jentera serangan Chelsea selain dalam masa sama membantu jentera serangan Liverpool,” katanya.

Untuk rekod, Fabinho mengalami kecederaan otot ketika beraksi berdepan Aston Villa di Villa Park, Selasa lalu yang menyaksikan Liverpool menang 2-1.

Pemain berusia 28 tahun itu telah melakukan 47 penampilan bersama Liverpool sejak tiba ke Anfield pada 2018 lalu dari Monaco dan membantu The Reds memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara dan Piala Liga.

Bagaimanapun berdasarkan laporan perubatan, Fabinho dijangka pulih dan boleh beraksi menjelang aksi final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid 29 Mei ini.

Mengulas mengenai aksi final berkenaan, Klopp berkata, ia adalah ulangan aksi final Piala Liga yang menyaksikan The Reds menang menerusi penentuan sepakan penalti setelah penjaga gol The Blues, Kepa Arrizabalaga gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Namun katanya, aksi final kali ini adalah aksi yang berbeza dan pemain masih perlu memberikan fokus dan beraksi bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan.

“Kita kini berpeluang untuk memenangi piala kedua kita musim ini dan kita juga bakal beraksi di final Liga Juara-Juara selain masih di landasan yang betul untuk merebut takhta EPL.

“Oleh itu, kesemua pemain perlu memberikan aksi terbaik dan tidak melepaskan peluang untuk kita mencatat sejarah dengan memenangi empat gelaran (quadruple) musim ini,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Liverpool, Anfield, Jurgen Klopp, Chelsea, Fabinho