BERBAKI dua hari lagi sebelum pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) bertemu empat mata dengan pasukan gergasi yang juga penyandang juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada Rabu.
Bahang kehangatan semakin terasa dengan peminat bola sepak menyatakan sokongan terhadap kelab pilihan masing-masing.
Topik seperti jumlah gol yang bakal dicetak memenuhi ruangan komen Facebook kelab penyokong apabila hantaran status berkaitan perlawanan itu muncul di garis masa.
Tidak kurang juga ada yang sibuk membincangkan taktikal yang bakal digunakan kedua-dua skuad tersebut dalam aksi yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air itu.
Seorang penyokong NSFC, Hasnizam Jeff George berpendapat, taktikal gameplay skuad Liverpool kendalian Jurgen Klopp boleh diguna pakai ketika menentang JDT.
Untuk rekod, formasi 4-1-2-1-2 atau 'diamond' antara lain kerap digunakan Liverpool kerana dikatakan sesuai dengan jentera bahagian tengah pasukan The Reds itu.
"Kalau boleh kena baca strategi pemain lawan, kalau boleh jangan takut, nanti terlepas bola. Amalkan gameplay Liverpool 1-2-1-2," katanya di ruangan komen Facebook Negeri Sembilan Football Club.
Namun, seorang penyokong lain, Ah Izz membalas ringkas dengan satu pertanyaan berbunyi, "Fitness player power ke?"
Tangkap layar komen penyokong tentang perlawanan NSFC menentang JDT pada Rabu ini. — Facebook
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Allong Shahrizan berharap NSFC dapat main open game dan tidak main bertahan.
"Pertemuan antara NSFC dan JDT pada Rabu ini diharap supaya kedua dua pasukan dapat menurunkan barisan terkuat masing-masing. Kita nak saksikan perlawanan yang berkualiti tinggi di depan mata iaitu di home kita STAR (Stadium Tunku Abdul Rahman), Paroi.
"Harap NSFC dapat main open game dan tidak main bertahan (parking bas). Menang atau kalah belakang kira, janji penonton puas dapat menyaksikan persembahan terbaik di padang. Kita akui JDT sudah di level Asia. Demi nogori dan lencana di dada jangan terlalu menghormati lawan," katanya di Facebook Penyokong Setia Negeri Sembilan (BOLASEPAK).
Terdahulu, Majoriti melaporkan rata-rata penyokong JDT dapat mengagak taktikal yang bakal digunakan oleh ketua jurulatih NSFC, K Devan pada perlawanan itu nanti.
Menurut mereka, kebiasaannya banyak kelab dalam Liga Super akan bertahan habis-habisan apabila menentang JDT untuk mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri.
Justeru, NSFC juga dijangka akan melakukan taktikal sebegitu terutama bagi terus mengekalkan kedudukan mereka di puncak liga.
Skuad The Jang ketika ini sedang memimpin Liga Super selepas enam perlawanan dengan 14 mata, dua mata di depan JDT yang kurang dua perlawanan.
Skuad Sang Rusa juga masih belum tewas dalam sebarang perlawanan buat masa ini.
JDT pula berada di tangga kedua dengan 12 mata selepas mencatatkan rekod bersih maksimum musim ini dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram