Arteta dedah kenapa Pepe kena marah


  • Podium
  • Isnin, 09 Mei 2022

Pepe (depan) ketika beraksi menentang Leeds United pada Ahad. — Reuters

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan punca pemain sayap, Nicolas Pepe dimarahi oleh pembantu jurulatih, Albert Stuivenburg pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United pada Ahad.

Pada perlawan itu, The Gunners memperoleh kemenangan penting 2-1 di Stadium Emirates hasil dua gol penyerang muda, Eddie Nketiah pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, di penghujung perlawanan, Arsenal terpaksa bertahan bermatian-matian untuk mengutip tiga mata penuh berikutan serangan bertubi-tubi oleh Leeds United melalui beberapa set-piece.

Pepe, yang merupakan pembelian termahal Arsenal, menggantikan Bukayo Saka pada separuh masa kedua dan pada minit-minit terakhir permainan, pemain antarabangsa Ivory Coast itu mendapat bola di garisan tengah padang dan berpeluang besar untuk melakukan rembatan jarak jauh ke gawang Leeds United yang kosong gara-gara penjaga golnya, Illan Stéphane Meslier naik ke atas.

Bagaimanapun, dia memilih untuk menggelecek menyebabkan bola dirampas oleh pemain Leeds United, Daniel James, menyebabkan Stuivenburg begitu kecewa.

Jurulatih yang berasal dari Belanda itu kemudian bertindak melepaskan kemarahannya terhadap Pepe di tengah padang selepas wisel penamat dibunyikan.

Arteta juga mengakui bahawa beliau bingung dengan keputusan Pepe tersebut.

"Apabila anda melihat bahawa dia (Pepe) mempunyai gawang gol yang kosong di hadapannya dan melakukan sentuhan ke belakang, kami benar-benar tidak faham.

"Tetapi anda perlu memahami persepsi pemain pada masa itu, merekalah yang membuat keputusan. Dan mujurlah kami tidak memerlukan gol itu," kata Arteta.

Kemenangan itu meletakkan The Gunners empat mata di depan Tottenham Hotspur di tangga kelima, lawan yang bakal ditemui dalam aksi EPL seterusnya pada awal pagi Jumaat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram