Bakal jadi mimpi buruk lawan, legenda JDT kembali sarung jersi selepas berehat setahun


Gambar sosok tubuh belakang seorang pemain JDT yang dimuat naik dalam hantaran Facebook rasmi, Johor Southern Tigers.

GAMBAR sosok tubuh seorang pemain Johor Darul Takzim (JDT) yang dimuat naik dalam hantaran Facebook rasmi, Johor Southern Tigers mengundang pelbagai tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Persoalan seperti siapakah pemain misteri dalam hantaran itu menjadi bahan modal borak penyokong untuk berteka-teki dan nama yang disebut-sebut oleh mereka adalah pemain legenda JDT, Gonzale Cabrera.

Pemain kelahiran Argentina itu, menyumbangkan 43 gol sepanjang bersama JDT dalam saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan tatkala membuat 152 penampilan sejak musim 2017.

Sebelum ini, JDT mengesahkan tidak akan menyambung kontrak pemain sayap kiri pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2022.

CABRERA

Cabrera (tengah) berjaya membantu JDT muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021.

Namun, kepingan gambar pemain misteri itu membawa sinar kembali kepada penyokong JDT yang merindukan bekas tonggak skuad itu dan mereka semestinya mengharapkan agar Cabrera dapat menguatkan pasukan Harimau Selatan pada musim ini.

"Gandingan Cabrera, Forestieri, Bergson dan Arif Aiman akan menjadi mimpi buruk pasukan lain. Tak dinafikan dengan kemasukkan Cabrera akan menambah ketajaman dan membuka lebih banyak peluang untuk Forestieri dan Bergson di hadapan," kata pengguna Facebook, Harry Giding.

Menurut pemilik akaun, Faiz Mustapha pula kemungkinan pemain misteri itu adalah Cabrera kerana selepas kontrak bersama JDT tidak diteruskan, pemain berkenaan tidak bermain untuk mana-mana kelab lain.

"Kalau anda perasan, video perasmian jersi, ada sambungannya kan. Anda tunggulah, ura-ura mengatakan Cabrera kembali sebab sekarang dia memang tidak pergi mana-mana kelab dan untuk tahun ini dia genap lima tahun di Malaysia. Takut sudah dinaturalisasikan. Apa-apa pun tunggu kejutan dari JDT," ujar Faiz Mustapha.

"Macam dia saja, padulah kalau dia ini masuk semula. Memang tukang huru-hara ini," komen pengguna Facebook, Fadzil Yatim.

Untuk rekod, sepanjang bersama JDT, Cabrera berjaya membantu pasukan itu muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021 selain Piala Sumbangsih (2018 hingga 2021) dan Piala Malaysia (2018 dan 2019). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram