'Kalut raya ke apa?' Menang lawan Thailand tapi penyokong tegur FAM


  • Podium
  • Ahad, 08 Mei 2022

Malaysia akan meneruskan cabaran dengan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan menutup saingan kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei. 

KEMENANGAN manis Harimau Muda menundukkan Thailand pada perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Thien Truong bagi saingan acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 mengundang pelbagai reaksi peminat tentang prestasi anak buah Brad Maloney.

Jaringan saat akhir pemain gantian Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, memastikan Malaysia mengumpul tiga mata penuh pada perlawanan getir itu, sekali gus melunaskan dendam kekalahan di pentas final edisi 2017 di Kuala Lumpur, yang juga pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di temasya sukan dwitahunan itu.

Thailand terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi penyudah penyerang Patrik Gustavsson selepas memanfaatkan kekalutan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan leret yang gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Azri.

Bagaimanapun, menghampiri separuh masa, Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas menjatuhkan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-41.

Bersambung babak kedua, situasi berubah 180 darjah apabila skuad kebangsaan kendalian Brad Maloney lebih banyak menguasai permainan selain berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya.

Jaringan penyamaan dicari-cari akhirnya tiba pada minit ke-61 menerusi penyerang Ahmad Danial Ahmad Asri yang berada di kedudukan tepat untuk menampan hantaran lintang kapten Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Muhammad Nur Azfar menjaringkan gol paling berharga buat negara pada minit akhir perlawanan, sekali gus memastikan Malaysia mengumpul tiga mata berharga pada perlawanan pembukaan Kumpulan B itu.

Namun di sebalik kemenangan itu, ada perkara yang menjadi tumpuan para penyokong dan peminat bola sepak negara.

Seperti disuarakan pengguna Facebook, Muller Jr Amr, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu lebih peka untuk meletakkan nama pemain Harimau Muda di jersi pada kejohanan Sukan SEA kali ini.

"FAM boleh tolong cetak nama kat baju pemain tak? Lagi bagus ada nama pemain. Pasukan lain semua ada nama tapi Malaysia saja tiada. Kalut (sibuk) raya ke apa?

"Macam mana peminat nak kenal pemain kalau nama tiada. Sedih betul," tulisnya.

Namun di sebalik kelemahan kecil FAM itu, ada yang menghamburkan pujian terhadap perancangan FAM yang kini sudah mula membuahkan hasil.

"Terbaik FAM. Perancangan FAM sudah mula menampakkan hasilnya untuk dituai. Tahniah semua, terbaik," komen Mohd Mahzuz Khumaini.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan B mengumpul tiga mata sementara Laos dan Singapura yang terikat 2-2 dalam satu lagi aksi masing-masing di tempat kedua dan ketiga manakala Kemboja (keempat) dan Thailand tercorot.

Selepas ini, Malaysia akan meneruskan cabaran dengan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan menutup saingan kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram