Pessoa dedah dua rahsia penting sebaik sarung jersi Sabah FC


  • Podium
  • Rabu, 04 Mei 2022

Pessoa (kiri) akui terima tawaran lain selain beraksi di Malaysia. — Facebook

PEMAIN import Sabah FC, Neto Pessoa tiba di Malaysia pada jendela perpindahan awal musim bagi mengisi posisi penyerang utama Sang Badak.

Namun malangnya, selepas empat perlawanan Liga Super, Pessoa terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan.

Malahan, Pessoa hanya 'sempat' meledak satu jaringan bersama Sabah FC.

Persembahan cemerlang ditonjolkan oleh Amri Yahyah ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tempoh hari menyebabkan ada segelintir peminat mahu Pessoa terus diketepikan sebagai penyerang utama pasukan.

Namun, ada juga peminat ingin Pessoa terus menggalas tugas sebagai penyerang utama serta berperanan sebagai 'False 9'.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Pessoa berkata, dia menyifatkan dirinya sebagai seorang penyerang yang versatil.

"Saya cuba menggabungkan kekuatan fizikal dengan teknikal.

"Menjadi pemain 'nombor 9' bergantung kepada formasi dan corak pemainan yang digunakan oleh jurulatih.

"Saya lihat dalam skuad Sabah FC, kita mempunyai pemain yang memiliki pelbagai corak permainan dan sangat berguna untuk perubahan taktikal ketika berada atas padang," katanya kepada Majoriti.

Pessoa (tengah) berdepan masalah kecederaan ketika ini. — Facebook

Melihat perjalanan karier Pessoa, Sabah FC merupakan pasukan pertamanya di luar negara kelahirannya iaitu Brazil.

"Ya, ini merupakan pengalaman pertama saya di luar negara.

"Saya mendapat tawaran dari Indonesia, Thailand, Armenia dan Iran tetapi membuat keputusan datang ke Malaysia kerana ia sebuah liga yang sedang berkembang.

"Malahan, saya juga mempunyai rakan-rakan yang bermain di Malaysia dan memberikan saya rujukan yang baik.

"Saya melihat Malaysia mempunyai banyak potensi untuk berkembang dan saya pasti ia akan menjadi salah satu liga terbesar di Asia suatu hari nanti," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram