Netizen Indonesia mengamuk, Sabah FC hanya lepaskan Saddil menentang Vietnam


  • Podium
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Penyokong Indonesia merasakan Saddil tidak mampu membentuk keserasian bersama pemain lain kerana lwat menyertai skuad Garuda Muda. — Sabah FC

KEMELUT yang berlaku melibatkan Sabah FC, Saddil Ramdani dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akhirnya selesai pada Khamis selepas pihak pengurusan The Rhinos membuat keputusan untuk membenarkan bintangnya itu menyertai skuad Sukan SEA 2021 Indonesia.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, Saddil dibenarkan untuk menyertai skuad B-23 Indonesia ke kejohanan yang berlangsung di Hanoi, Vietnam itu untuk perlawanan pertama menentang Vietnam pada 6 Mei 2022.

Selepas itu, Saddil harus pulang semula ke Kota Kinabalu, Sabah untuk menghadapi dua perlawanan penting iaitu saingan Piala FA menentang Kelantan United pada 13 Mei serta Liga Super menentang Penang FC pada 17 Mei.

Jika Indonesia lolos ke peringkat separuh akhir, barulah Saddil akan menyertai semula rakan-rakannya untuk mengharungi baki perlawanan.

279492687_3224669074446870_3038321372354362323_n

Kenyataan Sabah FC pada Khamis. — Sabah FC

Susulan itu, sebilangan penyokong Sang Garuda Muda berpendapat bahawa adalah lebih baik jika ketua jurulatih, Shin Tae-yong tidak membawa Saddil ke kejohanan itu, sebaliknya memberi peluang kepada pemain lain yang turut berbakat.

Selain itu, menurut mereka, Saddil yang baru sahaja dilepaskan tidak mempunyai masa yang cukup untuk membentuk keserasian bersama pemain-pemain lain yang sudah berlatih bersama-sama lebih awal dan bakal terlepas sesi latihan ketika kejohanan berlangsung.

"Sia-sia saja dilepaskan jika cuma main satu kali, bohong itu Sabah FC... yang diinginkan adalah Saddil ikut daripada awal pertandingan sehingga selesai... jika begitu lebih baik tidak payah bawa Saddil, masih banyak lagi pemain yang bagus," kata Muslihin.

"Jika situasi seperti ini ada baiknya Saddil tidak dimasukkan ke skuad SEA games, kerana belum tentu permainannya serasi dengan rakan-rakan lain," kata Revo Mario pula.

"Lebih baik tidak dibawa, bola sepak tidak perlu skil individu tetapi bagaimana chemistry yang sudah terbentuk sehingga mewujudkan mental juara, apa lagi skuad yang dibawa hanya 20 orang, menjadi 19 jika ditinggalkan Saddil," ujar Wayan Ginayasa.

"Lebih baik tidak payah... mana mungkin wujud keserasian jika bergabung dengan skuad ketika pertandingan, tidak mengikuti latihan Shin Tae-yong terlebih dahulu," kata Ancu Mua Je.

Acara bola sepak Sukan SEA 2021 bakal membuka tirai 6 Mei ini dan perlawanan akhir bakal berlangsung pada 22 Mei.

Indonesia diundi dalam kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Vietnam bersama Myanmar, Filipina dan Timor Leste. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram