Sabah lepaskan Saddil, tapi bersyarat


  • Podium
  • Khamis, 28 Apr 2022

Saddil (kanan) bakal memperkuat skuad B-23 Indonesia di Sukan SEA 2021. — Sabah FC

SABAH FC akhirnya mengalah dengan 'pujukan' Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk melepaskan pemainnya Saddil Ramdani untuk menyertai skuad kebangsaan bawah-23 (B-23) Indonesia bagi menghadapi Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, Saddil dibenarkan untuk menyertai skuad kebangsaan B-23 bagi perlawanan pertama menentang Vietnam pada 6 Mei 2022.

"Setelah perbincangan diadakan bersama Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae-Yong dan Pengarah Teknikal PSSI, Indra Sjafri, kami bersetuju untuk melepaskan Saddil.

"Namun demikian, Saddil perlu kembali ke Kota Kinabalu bagi melaporkan diri bersama Sabah FC pada 10 Mei 2022 bagi menghadapi dua saingan penting iaitu saingan Piala FA menentang Kelantan United pada 13 Mei serta Liga Super menentang Penang FC pada 17 Mei," kata kenyataan itu

Menurut kenyataan itu lagi, Sabah FC turut bersetuju untuk melepaskan Saddil untuk bersama skuad Garuda lebih awal, iaitu pada 18 Mei hingga 15 Jun 2022, bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Ketiga Piala Asia 2023 walaupun kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hanya bermula pada 30 Mei 2022 hingga 14 Jun 2022.

"Sabah FC mengucapkan selamat maju jaya pada Shin Tae-Yong dan pasukan-pasukan kebangsaan Indonesia bag menghadapi saingan-saingan tersebut terutamanya Sukan Sea 2021 dan Piala Asia 2023 Pusingan Kelayakan Ketiga," tambahnya.

PSSI sebelum ini dilaporkan mahu mengadakan rundingan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya pemain itu dilepaskan untuk mewakili skuad kebangsaan B-23 Indonesia bagi menghadapi Sukan Sea 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram