Bintang import sensasi anggap Malaysia macam rumah kedua


  • Podium
  • Rabu, 04 Mei 2022

Josue menggalas tugas sebagai kapten KL City sejak 2020. — Facebook/KL City

MENGGALAS tanggungjawab sebagai seorang kapten pasukan, bukanlah mudah.

Banyak perkara perlu diambil kira untuk menjadi seorang pemimpin di atas padang yang berjaya serta mampu membawa rakan sepasukan lain mengorak kejayaan.

Tiba di Malaysia pada 2017, pemain import Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue merupakan antara watak utama pasukan berkenaan.

Musim lalu, dia mencipta sejarah tersendiri apabila membawa KL City menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun.

Paling manis, kejayaan itu dilakar ketika menentang kelab gergasi Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Takzim (JDT).

Josue baru-baru ini berkongsi kisahnya menjadi seorang kapten pasukan KL City.

"Saya sentiasa cuba menunjukkan kepada rakan sepasukan bahawa saya ada di situ untuk menyokong mereka dalam apa jua keadaan.

"Mereka semua tahu kami adalah pasukan yang bekerja keras.

"Saya katakan pada mereka setiap masa, selagi kita bekerja keras dan tidak membiarkan gawang dibolosi, kita akan mempunyai peluang besar untuk memenangi perlawanan," katanya kepada Majoriti.

Josue sentiasa memberi sokongan kepada rakan sepasukannya.

Josue turut mengakui gembira berada di Malaysia sepanjang lima tahun di negara ini.

"Saya merasakan Malaysia seperti rumah kedua saya.

"Satu negara yang indah dengan rakyat yang baik. Semua ahli keluarga suka tinggal di sini dan kami sangat gembira," ujarnya.

Josue ketika ini meledak dua gol dan tiga bantuan hantaran dalam enam penampilan Liga Super setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram