Sang Badak kurang satu faktor untuk cabar kejuaraan


  • Podium
  • Ahad, 17 Apr 2022

Kim Swee perlu segera mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan.

SABAH FC gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila tunduk 0-2 kepada juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi kelima Liga Super malam Sabtu.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee sebelum ini menang dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk melonjak ke tangga kedua liga, dipisahkan tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ini merupakan kekalahan kedua selepas Sabah FC tewas 0-1 pada perlawanan pembukaan kepada Negeri Sembilan FC, bulan lalu.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, penyerang import KL City Romel Morales akhirnya berjaya menemui sentuhan penyudah musim ini apabila meledak dua gol bagi membantu tuan rumah untuk mencalar rekod tiga perlawanan tanpa kalah pelawat.

Sabah FC nyaris berada di depan pada minit ke-14 namun rembatan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dinafikan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza sebelum Romel menceriakan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk jaringan pertama liga musim ini, hasil daripada sepakan percuma Paolo Josue pada minit ke-36 dan kedudukan itu kekal sehingga babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang meningkatkan tempo permainan hampir menjaringkan gol penyamaan namun tandukan Baddrol sedikit tersasar di sebelah kiri gol lawan pada minit ke-54.

‘Sang Badak’ terus buntu merobek gawang skuad warga kota apabila Kevin bertindak cemerlang menggagalkan dua percubaan berbahaya berturut-turut, masing-masing oleh penyerang Jepun, Taiki Kagayama disusuli pemain gantian, Nazirul Naim Che Hashim, pada minit ke-67.

Bagaimanapun, Romel menjadi duri dalam daging buat pasukan kendalian bekas Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan itu apabila mudah menolak masuk jaringan keduanya dua minit sebelum perlawanan tamat, untuk membantu anak buah Bojan Hodak merakam kemenangan kedua liga selepas lima perlawanan musim ini.

Antara yang menjadi tumpuan dalam perlawanan tersebut adalah ketajaman penyudah skuad Sabah FC yang diketuai penyerang import, Taiki Kagayama.

Rata-rata penyokong memberi respons bahawa skuad Kim Swee tidak mempunyai penyerang yang mahu merobek gawang gol lawan dan ini terbukti berdasarkan empat perlawanan terdahulu.

Setakat ini, Sabah FC mencatatkan lima gol secara keseluruhan dengan kemenangan terbesar 3-1 ketika menewaskan PJ City manakala dua lagi perlawanan menang tipis 1-0.

Kagayama masih belum melakar sebarang gol pada musim ini dan kebanyakan jaringan dijelmakan dari pemain tengah atau sayap.

Tewas kali kedua tidak meranapkan semangat penyokong Sabah FC, tetapi mereka mengharapkan Kim Swee dapat mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan.

Mohd Saiful Hafez berkata, Sabah FC tidak mempunyai penyerang yang betul-betul mantap dan dia berharap Sang Badak dapat meningkatkan lagi prestasi.

Malah seorang lagi penyokong, Isa Rahmat juga menyifatkan bahagian serangan Sabah FC amat kritikal.

Mungkin susah tiba masanya, Kim Swee memberi kepercayaan untuk meletakkan pemain penyerang tempatan seperti Thanabalan Nadarajah dan pemain veteran, Amri Yahya untuk mengemudi bahagian serangan bagi mengatasi masalah tersebut.

Kekalahan kepada KL City menyaksikan Sabah FC mungkin dipintas Kedah Darul Aman (KDA) FC jika skuad Sang Kenari itu menewaskan Penang FC pada malam Ahad.

Sabah FC akan melayan kunjungan Kedah pada Ahad depan (24 April), sekali gus bakal menyaksikan reunion antara dua bekas pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang berpindah ke Borneo pada awal musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram