PENYERANG Lion City Sailors, Stipe Plazibat mendapat perhatian dalam Liga Malaysia selepas beberapa pasukan sudah menunjukkan minat untuk menandatangani pemain antarabangsa itu untuk saingan musim depan.
Meskipun belum ada maklumat rasmi berkaitan penghijrahan pemain kelahiran Croatia itu, namun melalui spekulasi setakat ini, nama Stipe kini dikatakan berada dalam radar perpindahan ke negara ini.
Pemain 32 tahun itu dilihat sesuai ke Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC (TFC) atau mungkin juga Selangor FC berdasarkan prestasinya di Liga Singapura.
Ini kerana Stipe mempunyai pengalaman yang luas berdasarkan aksinya di liga Thailand, Croatia, Singapura dan Jepun.
Berdasarkan statistik, Stipe muncul antara pemain yang paling banyak menjaringkan gol dalam skuad Lion City Sailors dengan jumlah 14 jaringan dalam Liga Premier Singapura.
Secara keseluruhannya, Stipe sudah melakarkan 98 gol dalam 211 perlawanan sepanjang kariernya.
Ini menjadikan pemain Stipe sesuai menggantikan Baddrol di Kedah Darul Aman FC yang sudah mengesahkan tempatnya di Sabah FC pada musim depan.
Pemain berketinggian 1.8 meter itu juga dilihat sesuai mengisi tempat peledak berbisa, Ifedayo Olusegun di Selangor FC yang sah ke Melaka United.
Atau mungkin juga, Stipe boleh mengisi kekosongan yang ditinggal penyerang TFC, Lee Tuck yang dilaporkan kembali semula ke Sri Pahang FC.
Pada masa sama, difahamkan juga Kuala Lumpur City FC antara yang terawal menghubungi penyerang sensasi tersebut.
Jika Stipe benar-benar ke KL City FC, dia mungkin mampu menyelesaikan masalah posisi serangan skuad itu dengan bantuan daripada Paulo Josue dan Romel Molare. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram